Berita

Guan Eng gesa kerajaan gandakan rebat elektrik, lanjut moratorium

Oleh Fatih Hassan Nordin

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan mengambil beberapa langkah proaktif bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan ekoran penularan jangkitan Covid-19.

Ini selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya semalam mengingatkan rakyat agar “berjaga-jaga” dengan penularan wabak tersebut.

Tegas Guan Eng, peringatan sahaja tidak cukup, kerajaan juga perlu memperkenalkan langkah praktikal bagi membantu rakyat.

Ini termasuk mengandakan rebat bil elektrik kepada pengguna selain melanjutkan tempoh moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan lagi selepas tarikh tamat pada September ini.

“PM juga sebut (dalam ucapannya) yang kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

“Jika langkah ini dilaksanakan, saya seru agar kerajaan menurunkan kembali harga kawalan pelitup muka ke harga zaman PH iaitu 80 sen (jenis 3-ply) sekeping,” ujarnya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Guan Eng yang juga Mantan Menteri Kewangan turut mempersoalkan tentang dakwaan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang dikhabarkan kononnya telah menyelamatkan 2.75 juta pekerjaan.

“Macam mana 2.75 juta pekerjaan diselamatkan bila kadar pengangguran naik kepada 5.3% atau lebih 830,000 orang?” soalnya.

Terdahulu, Mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memperbetulkan kesilapan dalam ucapan Muhyiddin berkenaan jumlah pemandu e-hailing yang telah berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Jelasnya, jumlah pemandu e-hailing di seluruh negara tidak sampai 1.4 juta seperti yang diberitahu Muhyiddin dalam ucapannya semalam, sebaliknya hanya dalam lingkungan 120,000.

Kesalahan itu diakui Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan telah diperbetulkan Pejabat Perdana Menteri dalam siaran kenyataan media hari ini. — Roketkini.com