Berita

3 cadangan tambah baik PGK – Ong Kian Ming

Mantan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming mengutarakan tiga cadangan untuk menambah baik metodologi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan penghitungan kemiskinan.

Ahli Parimen Bangi itu berharap cadangan tersebut diambil kira dalam Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang akan datang.

Cadangan yang pertama, katanya, adalah supaya angka untuk kategori Bumiputera dipisahkan kepada Melayu Bumiputera, Bumiputera Sarawak dan Bumiputera Sabah.

Menurutnya, langkah tersebut supaya kadar kemiskinan antara ketiga-tiga kumpulan ini boleh difahami dengan lebih mendalam.

“Saya rasa rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak pun boleh sokong cadangan ini oleh kerana kadar kemiskinan di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak jauh lebih tinggi daripada yang dialami oleh kaum Melayu di Semenanjung Malaysia.

“Dengan angka yang lebih tepat, kerajaan juga dapat memperbaiki polisi-polisi supaya isu kemiskinan di kalangan rakyat Bumiputera Sabah dan Sarawak boleh ditangani dengan lebih efektif,” katanya ketika perbahasan menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kian Ming yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP berkata, cadangan keduanya adalah untuk memperbaiki angka PGK mengikut negeri supaya ia menggambarkan keadaan sebenarnya dengan lebih tepat.

Mengikut HIS 2019, PGK 2019 untuk Selangor adalah RM2,022 iaitu lebih rendah berbanding dengan PGK seluruh negara iaitu RM2,208,” ujarnya.

“PGK untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) adalah RM2,216, iaitu lebih RM8 berbanding dengan PGK seluruh negara. PGK untuk negeri Terengganu adalah RM2,507, untuk Sabah ialah RM2,537 dan untuk Sarawak adalah RM2,131.

“Bagi saya, ini tidak menggambarkan realiti sebenarnya kerana kos kehidupan yang jauh lebih tinggi di Lembah Kelang berbanding dengan negeri yang lain bermakna bahawa PGK untuk negeri seperti Selangor dan WPKL sepatutnya lebih tinggi berbanding dengan misalnya Terengganu.”

Pada masa yang sama, beliau turut hairan kenapa adanya jurang yang begitu besar di antara PGK Sabah dan Sarawak memandangkan kos pengangkutan untuk barang asas adalah lebih tinggi untuk negeri Sarawak berbanding dengan negeri Sabah.

Cadangan ketiga saya ialah supaya ‘individual level data’ untuk HIS diterbitkan sebagai satu data set secara umum.

“Butiran peribadi seperti nama dan alamat boleh dikeluarkan daripada data set. Ini akan membolehkan pensyarah dan ahli akademik di universiti tempatan untuk membuat kajian yang lebih mendalam tentang isu kemiskinan.

“Ia juga membolehkan ahli akademik kita menerbitkan artikel mereka dalam jurnal bertaraf ISI dan ini akan membantu menaikkan kedudukan universiti tempatan dalam ranking serantau dan antarabangsa,” katanya. — Roketkini.com