Oleh Fatih Hassan Nordin
Tidak kurang orang muda yang memeram persepsi negatif terhadap politik. Lapangan itu dianggap mereka sebagai jijik, cetek dan dipenuhi pemimpin gila kuasa.
Ia seolah-olah sebuah taman usang yang asing daripada pengalaman waktu kecil yang tidak mengenal warna kulit dan erti perkauman.
Namun di sela-sela rasa kecewa dan amarah yang selalunya dihamburkan golongan itu di media sosial, muncul satu sosok yang optimis yang ingin memandang politik dari sudut yang berbeza, malah mungkin berusaha untuk mengubah persepsi negatif yang terbina sejak sekian lama.
Marina Ibrahim, 33, anak jati Kluang, Johor melihat politik sebagai suatu wadah untuk berbakti kepada masyarakat.
Beliau aktif melakukan aktiviti kemasyarakatan di kawasan setempat menerusi antaranya program Memberikan Senyuman yang mana kini telah masuk tahun kelima.
Melalui program tersebut, Marina tidak kekok menyantuni golongan kurang berkemampuan bagi memberikan sedikit keceriaan kepada mereka dalam mempersiapkan diri dan keluarga untuk meraikan hari lebaran.
Perwatakan yang mesra dengan semua lapisan masyarakat itu sedikit sebanyak terbentuk menerusi kehidupan ibunya di estet yang banyak memberikan beliau pengajaran tentang erti bertoleransi sesama masyarakat yang rencam latar budaya dan adat.
“Ibu saya adalah ibu tunggal dan membesar di estet. Di kawasan estet itu kita boleh lihat kaum Melayu, India dan Cina boleh hidup dalam kesepakatan,” katanya dalam wawancara bersama Roketkini.
Pengalaman bergaul dengan rakan dari berbagai latar kaum turut mencorakkan aktiviti yang dilakukan Marina di kawasan setempatnya.
“Saya banyak buat aktiviti yang melibatkan kanak-kanak. Di mana kanak-kanak Melayu, India dan Cina akan belajar sejarah perayaan masing-masing. Ada aktiviti belajar membuat tanglong misalnya.
“Saya juga anjurkan kelas tulisan Jawi dan juga melukis sesama bangsa kerana saya percaya lama-kelamaan kita dapat mengubah persepsi ataupun kesangsian terhadap antara satu bangsa-bangsa lain melalui aktiviti sebegini,” katanya.
Melalui aktiviti berkenaan, katanya, ia sedikit sebanyak membina semangat perpaduan antara kaum, sekaligus merobohkan pemikiran sempit perkauman yang selama ini mencengkam naratif pembinaan negara.
Beliau turut memanfaatkan platform media sosial bagi membuat membuat hebahan tentang program yang sedang atau telah dianjurkan. Baginya media sosial adalah tempat terbaik untuk mendekati orang muda.
“Saya rasa media sosial ini sangat mainkan peranan yang besar untuk ubah persepsi masyarakat terhadap politik, terhadap aktiviti kebajikan dan sebagainya,” ujarnya.
Kenapa DAP?
“DAP parti yang demokratik, adil dan juga peduli,” tegasnya ketika ditanya mengapa memilih DAP sebagai wadah perjuangan.
“Kerana DAP parti berbilang bangsa,” tambahnya.
“Saya lihat jurang persefahaman antara kaum semakin melebar. Saya rasa saya boleh lakukan sesuatu walaupun tidak dalam skala yang besar, tetapi saya percaya jika sesuatu itu dilakukan secara kecil-kecilan, lama-kelamaan usaha itu akan tampak berjaya.”
Tidak kurang juga kecaman dan cabaran yang terpaksa dihadapi Marina selepas bergelar “Melayu dalam DAP”, namun itu semua diketepikan kerana baginya restu ibu mengatasi segala-galanya.
“Ibu saya sendiri memberikan galakkan untuk saya masuk (DAP) dan pesan beliau adalah; ‘jika kita rasakan suatu benda kita lakukan adalah baik, kita jangan hirau apa kata orang lain’.
“Dan saya percaya juga selama saya masuk DAP, kebanyakan kita boleh lihat apa yang dimomokkan tentang DAP, tidak seperti apa yang disangka,” ujarnya.
Marina turut menitipkan pesan kepada orang muda yang masih terperangkap dalam tempurung naratif yang dicipta pihak lawan mengenai DAP.
“Kepada golongan muda yang rasa takut untuk sertai DAP, kononnya ini parti komunis ataupun parti Cina, datang kepada saya atau kepada rakan-rakan saya dalam DAP dan kita akan bantu anda untuk mengenali DAP.
“Anda boleh lihat sendiri, kerana ada kalanya cerita yang kita dengar di media sosial ataupun daripada pihak tertentu adalah cerita yang ditokok-tambah.
“Kita boleh sama-sama melakukan aktiviti kemasyarakatan dan daripada situ kita boleh nilai sendiri sama ada tohmahan terhadap DAP itu benar atau tidak,” tegasnya.
Belajar daripada pemimpin senior
Marina akui pernah dilempar akhbar terbitan bulanan DAP oleh penduduk setempat, namun peristiwa itu tidak mematahkan semangat juangnya.
“Ada antara mereka yang kurang suka, ada yang ludah. Tetapi sebelum ini saya juga pernah bekerja dengan YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai). Saya lihat bagaimana beliau berhadapan dengan situasi tersebut. Beliau berhadapan dengan tenang,” ujarnya.
Selain Nie Ching, beliau juga banyak menimba ilmu tentang politik dan aktivisme daripada Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.
Malah, katanya, Shu Qi adalah antara pemimpin DAP terawal yang menawarkan beliau untuk menyertai parti ini.
“Saya didekati YB Wong Shu Qi dan saya ambil masa dalam dua atau tiga bulan untuk berfikir sama ada platform politik ini adalah satu platform yang terbaik.
“Bagi saya agak sukar sedikit untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan terutamanya jika kita bergerak secara bersendirian dan apabila saya menyertai DAP, saya banyak bekerjasama dengan pihak pejabat Parlimen dan juga pihak pejabat Adun untuk melakukan pelbagai jenis aktiviti. — Roketkini.com