Berita, Rencana

Laksanakan segera Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia menyeru kerajaan menerusi kenyataan pada 19 Julai 2020 supaya mempercepatkan pelaksanaan Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana.

Menurut Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, kenyataan dan seruan tersebut amat bertepatan kerana ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pelancongan juga telah menimbulkan persoalan ini.

Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana berjumlah RM1 billion telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 5 Jun 2020, iaitu tujuh minggu yang lalu.

Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC) sebelum ini pernah menyatakan bahawa mekanisme skim pembiayaan tersebut akan diumumkan pada pertengahan bulan Julai.

Tetapi sehingga hari ini, bukan sahaja permohonan masih belum dibuka, malah tiada maklumat terperinci diberikan.

MOTAC seharusnya mempercepatkan pelaksanaannya kerana banyak PKS dalam industri pelancongan yang telah dan masih terjejas kerana Covid-19.

Poay Tiong yakin MOTAC sedar sektor pelancongan adalah antara sektor yang paling teruk terjejas kerana Covid-19. Para pengusaha dan pekerja tidak berdaya untuk menunggu lebih lama.

Di kawasan Parlimen Kota Melaka, tiga hotel besar telah ditutup dan dianggarkan 300 kakitangan telah kehilangan kerja. Banyak lagi hotel kecil dan agensi pelancongan yang sedang bertungkus-lumus untuk bertahan.

Naib Pengerusi DAP Melaka itu juga telah menerima banyak pertanyaan daripada pengusaha dalam sektor pelancongan mengenai Skim Pembiyaan Pelancongan ini.

Satu soalan kepada MOTAC disampaikannya mengenai status dan maklumat lanjut Skim Pembiayaan Pelancongan ini dan diharapkan menteri terlibat dapat memberikan jawapan dalam sidang Parlimen minggu hadapan. — Roketkini.com