Berita, Rencana

Pinda Akta Finas 1981, bukan gunakannya terhadap pengkritik, media

Kenyataan media oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi pada 23 Julai 2020 (Khamis) di Parlimen:

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, sepatutnya membentangkan pindaan terhadap Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981 yang telah ketinggalan zaman, daripada menggunakannya untuk mendiamkan pengkritik atau agensi media.

Pagi ini, menteri tersebut telah mengejutkan pengguna media sosial ketika menjawab soalan saya di Parlimen dengan menyatakan bahawa semua video sama ada berbentuk tradisional atau media sosial perlu memohon lesen Finas mengikut Seksyen 22 (1) Akta Finas 1981.

Kerajaan ketika ini juga menggunakan Seksyen 22 (1) untuk menyiasat dokumentari Al Jazeera, “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” dua hari yang lalu. Sejak itu, ia telah membuka ‘kotak Pandora’ mengenai aktiviti penggambaran di Malaysia.

Sekiranya sebuah agensi berita diminta untuk memohon lesen untuk setiap video yang dihasilkannya setiap hari, ini membawa bebanan kerja kepada pegawai-pegawai Finas. Lebih-lebih lagi, Menteri Komunikasi dan Multimedia mengesahkan di Parlimen hari ini bahawa semua aktiviti penggambaran dan pengedaran filem perlu memohon lesen dengan Finas meskipun dihasilkan secara peribadi.

Tidak dinafikan, undang-undang itu sudah usang. Ia digubal sebelum ini ketika kegiatan penggambaran hanya terhad dalam lingkungan industri filem, agensi berita dan penggunaan komersial. Namun, kita sekarang berada di era di mana semua orang boleh membuat penggambaran. Pengguna media sosial dengan telefon pintar memuat naik berjuta-juta video ke Youtube, TikTok, Facebook, dan Instagram setiap hari. Ada juga yang memperoleh pendapatan dengan membuat dan berkongsi video di platform media sosial.

Dengan menguatkuasakan undang-undang ini, Kerajaan Muhyiddin Yassin pada dasarnya menjadikan penggambaran video sebagai kegiatan yang haram di Malaysia. Adakah kerajaan akan mengambil tindakan terhadap semua pengguna TikTok? Adakah kerajaan akan meminta setiap Youtuber untuk memohon lesen? Lebih penting lagi, adakah kerajaan akan meminta Menteri Kanan, Ismail Sabri untuk memohon lesen sebelum menyiarkan video sidang media secara langsung?

Adalah tidak praktikal, tidak demokratik dan tidak rasional untuk menguatkuasakan Seksyen 22 (1) Akta Finas 1981. Menggunakan akta tersebut ke atas Al-Jazeera adalah isyarat jelas bahawa kerajaan Muhyiddin ingin membungkam pengkritik dan agensi media. Dengan ini, saya menggesa menteri untuk mengemukakan pindaan terhadap “Akta Finas 1981” yang sudah usang dengan kadar segera. — Roketkini.com