Berita, Rencana

Bersolidariti bersama Guan Eng

Oleh Tony Pua

(Setiausaha Publisti DAP Kebangsaan)

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan berikut: “Bahawa kamu, pada bulan Mac 2011, berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah secara rasuah meminta bagi pihak diri kamu sendiri suatu suapan, iaitu balasan berharga berupa 10% daripada keuntungan yang akan diperoilehi kelak daripada Dato’ Zarul Ahmad Bin Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.”

Ini bukan kali pertama Lim Guan Eng terpaksa melawan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh mereka yang berada di puncak kuasa. Kali ini, beliau berhadapan dengan dakwaan di mahkamah yang menuduhnya “meminta” habuan 10% daripada projek terowong dasar laut – sebuah projek yang dilaksanakan secara tender terbuka dan telahpun diberi penilaian baik oleh pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam Pulau Pinang dan Persekutuan.

Dakwaan terhadap Lim kali ini semata-mata berasaskan tuduhan yang dibuat oleh seorang kontraktor yang sebelum ini bersungguh-sungguh mempertahankan ketelusan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kontraktor itu dengan bangganya menyatakan beliau tidak perlu tunduk dengan mana-mana pihak dalam kerajaan untuk memperolehi kontrak tender terbuka itu.

Dalam kes ini, pihak pendakwa telah menuntut agar Lim dikenakan bayaran jaminan sebanyak RM2 juta, namun Mahkamah telah membenarkan jaminan sebanyak RM1 juta. Pihak kami telah membayar RM500,000 dan perlu membayar RM500,000 lagi kepada Mahkamah pada Isnin ini. Lim akan dihadapkan lagi ke Mahkamah pada Isnin dan Selasa ini untuk menghadapi dua lagi kes daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersatu hati menentang penganiayaan politik terhadap Lim Guan Eng.

Sehubungan itu, pihak kami telah melancarkan kempen kutipan sumbangan kilat selama seminggu Derma RM10 untuk membayar wang jaminan tersebut serta menjelaskan semula pinjaman yang kami buat untuk bayaran jaminan sebelum ini. Kami yakin rakyat Malaysia akan bangkit bersama kami untuk memastikan keadilan benar-benar ditegakkan.

Derma ikhlas RM10 boleh disalurkan ke akaun berikut: “DAP Malaysia” @ Public Bank 3063828309.

Sebarang lebihan kutipan derma akan digunakan untuk kempen pilihan raya umum bagi mengembalikan mandat rakyat Malaysia yang telah mengundi untuk perubahan pada tahun 2018. — Roketkini.com