Berita

Solidariti kepada Guan Eng!

Rakyat pelbagai kaum sejak semalam telah menzahirkan semangat solidariti bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berikutan pertuduhan yang disifatkan ramai pihak sebagai bermotifkan politik

Mereka turut memberi sokongan moral kepada mantan Menteri Kewangan itu dan menggunakan tanda pagar #beranikeranabenar dan #solidaritilge di media sosial.

Dalam masa sama, pemimpin-pemimpin DAP menerusi media sosial masing-masing menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada Guan Eng dalam mendepani pertuduhan terbabit.

Antaranya ialah Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menulis di Facebook: “Solidariti bersama Sdr Lim Guan Eng!”

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) serta barisan kepimpinan parti turut hadir di Mahkamah Jalan Duta seawal jam 8 pagi bagi memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Bagan itu.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liow Chin Tong yang turut hadir berkata, walaupun berdepan penganiayaan (persecution), Guan Eng tetap bersemangat tinggi.

“Berani kerana benar,” tegas mantan timbalan menteri itu di laman Twitter.

Sementara itu Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dalam ciapan Twitter berkata: “Terus kuat sahabat @guanenglim. Moga kebenaran ditegakkan.”

Guan Eng hari ini didakwa dengan satu pertuduhan membabitkan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. — Roketkini.com