Berita, Rencana

Tolak diskriminasi gender ke atas wanita

*Keterangan gambar: Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang

Oleh Wanita DAP Sabah

Wanita DAP Sabah kecewa dan mengecam serangan siber ke atas bakal calon wanita N.44 Tulid, Puan Clare Taunek di media sosial baru-baru ini. Taktik jijik yang digunakan berbaur seksualisasi, mengobjektifikasi dan menghina ahli politik wanita ini dengan cara menyerang di media sosial dengan tujuan untuk mengundang persepsi negatif orang ramai terhadap beliau.

Sebaik sahaja dikhabarkan sebagai calon berpotensi bagi kawasan N.44 Tulid, serangan siber berbentuk perkataan dan imej lucah serta dilabel dengan gelaran yang bertujuan untuk merendah dan memalukan beliau bertebaran di laman Whatsapp dan media sosial yang lain.

Berikutan dengan buli siber ini, Wanita DAP Sabah menyeru agar semua golongan yang terbabit dalam kempen pra PRN Sabah mengamalkan politik yang lebih bersih, beretika dan bersaing secara sihat mengambil hati rakyat di kawasan yang bakal ditandingi. Keganasan berasaskan gender atas talian bukan sahaja terhadap ahli politik wanita tetapi juga kepada golongan wanita lain sehingga ke tahap ‘character assasination’ atau pembunuhan karakter.

Serangan di media sosial yang ditujukan kepada wanita akan turut memberi impak negatif bukan sahaja ke atas emosi tetapi kebolehan wanita untuk melibatkan diri dalam semua bidang pekerjaan.

Puan Clare Taunek ketika ditemui berkata, buli siber yang dilancarkan kepada beliau baru-baru ini bukan sahaja mengganggu dan mengancam penglibatan wanita dalam politik tetapi juga menperlekehkan amalan demokrasi di Malaysia.

Tambah Clare lagi, serangan siber tersebut bukan sahaja bertujuan untuk merendahkan kredibiliti beliau tetapi juga menggambarkan rendahnya nilai politik serius dalam memastikan kemajuan negara ke arah amalan kesaksamaan gender, yang mana akhirnya amalan konvensional dalam pengagihan kuasa pentadbiran hanya bertumpu di tangan kaum lelaki sahaja.

Sementara itu, Ketua Wanita DAP Sabah, YB Jannie Lasimbang berkata, “Serangan siber berbentuk diskriminasi berasaskan gender melalui media sosial, adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi Malaysia yang mengutamakan kebebasan, partisipasi (penyertaan), dan pilihan di mana ini akan mengehadkan kebebasan wanita, sedangkan golongan ini adalah sebahagian daripada penduduk atau populasi negara.” — Roketkini.com