Berita

Kerajaan Pahang patut kerjasama dengan pekebun tempatan

Wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) meminta Kerajaan Negeri Pahang supaya tidak mengambil tindakan terhadap tanah tanpa izin pekebun-pekebun durian pada 24 Ogos ini.

Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH Pahang dalam satu kenyataan turut mengemukakan beberapa persoalan terhadap Kerajaan Negeri Pahang.

“Sekiranya kerajaan negeri membuat keputusan untuk menyewa tanah dusun durian, kenapa tidak memberi keutamaan kepada para pekebun tempatan yang telah mengusahakan dusun selama berpuluh-puluh tahun?

“Selama ini, ramai pekebun sanggup bekerjasama dengan kerajaan negeri, mereka banyak kali memohon tanah daripada kerajaan negeri tetapi tidak dilulus.

“Jika diberi peluang sewa pun, mereka sudi bayar sewa tanah atau levi kepada kerajaan negeri,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Kenyataan itu disokong oleh tiga ahli Parlimen iaitu Tengku Zulpuri Shah (DAP-Raub), Wong Tack (DAP-Bentong) dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) serta sembilan Adun.

Adun yang menyokong ialah Chow Yu Hui (DAP-Tras), Young Syefura Othman (DAP-Ketari), Lee Chin Chen (DAP-Bilut), Kamache Doray Rajoo (DAP-Sabai) Leong Yu Man (DAP-Triang), Chiong Yoke Kong (DAP-Tanah Rata), Woo Chee Wan (DAP-Mentakab), Lee Chean Chung (PKR-Semambu) dan Sim Chon Siang (PKR-Teruntum).

Menurut kenyataan media Unit Penguatkuasaan Kerajaan Pahang, kerajaan negeri akan mengambil alih semua kebun durian dan kawasan di mana tanaman-tanaman yang ditanam secara haram di sekitar Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub mulai 24 Ogos ini.

Menerusi keputusan kerajaan negeri, hanya syarikat usahasama kerajaan negeri sahaja yang diberi kebenaran memasuki dan menduduki tanah kerajaan dan hutan simpan di sekitar kampung berkenaan.

Dalam pada itu, kenyataan wakil rakyat PH tersebut menjelaskan, pekebun tempatan tentunya lebih berpengalaman dalam aktiviti pertanian durian, mereka juga telah awal mewujudkan pengendali mutu (quality control), rantaian pengeluaran, logistik serta eksport yang sempurna, berjalan lancar dan tersusun.

Malangnya, jelas kenyataan berkenaan, kerajaan negeri tidak mengambil kira masa dan tenaga yang dicurahkan oleh pekebun tempatan sebaliknya memilih untuk menyewakan tanah kepada korporat swasta yang baru ditubuhkan dan tidak pernah mengusahakan tanah tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, wakil rakyat PH mengingatkan kerajaan negeri, pekebun-pekebun durian menyumbang besar kepada ekonomi tempatan dan negeri sehingga Daerah Raub diiktiraf sebagai Bandar Musang King.

“Sekali lagi mereka menyeru Menteri Besar dan kerajaan Pahang menarik balik arahan untuk ambil tindakan terhadap ladang-ladang durian tanpa izin mulai 24 Ogos, juga mempertimbangkan untuk bekerjasama, berdialog dengan pekebun-pekebun tempatan, bukannya korporat swasta besar yang mungkin akan melancarkan kontrak yang membebankan pekebun-pekebun,” katanya. — Roketkini.com