Berita, Rencana

Kempen solidariti Guan Eng berjaya kumpul RM3.947 juta

Oleh Tony Pua

(Setiausaha Publisiti DAP dan Ahli Parlimen Damansara)

Kami telah melancarkan kempen seminggu kutipan derma “Solidariti bersama Lim Guan Eng” pada hari Sabtu, 8 Ogos yang lepas. Objektif kempen ini adalah untuk mengumpulkan dana untuk menanggung kos bayaran ikat jamin Lim Guan Eng untuk ketiga-tiga pertuduhan terhadap beliau minggu lepas.

Ratusan ribu rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum telah menyertai dan menyumbang kepada kempen ini, mengumpulkan sehingga RM 3.947 juta setakat penutupan kempen tengah malam semalam.

Respons yang ditunjukkan ini telah melangkaui semua jangkaan. Perkara ini menunjukkan yang rakyat amat marah terhadap penganiayaan politik daripada mereka yang berkuasa terhadap Lim Guan Eng sedangkan kes tersebut tidak mempunyai sebarang merit.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menyatakan yang beliau tidak bersalah memandangkan kontrak pembinaan terowong itu telah dianugerahkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang melalui satu operasi tender terbuka antarabangsa dan kemudiannya dicadangkan oleh penjawat awam kanan daripada kerajaan negeri dan persekutuan. Tambahan lagi, tidak ada satu sen pun wang yang telah dibayar untuk projek terowong ini memandangkan ianya dijadualkan untuk bermula hanya selepas tahun 2023, selepas semua syarat-syarat berkenaan telah diluluskan.

Walaupun selepas mengumumkan yang kami telah berjaya mengumpul RM2.9 juta setakat pada hari Selasa dan jumlah bayaran ikat jamin ditetapkan pada jumlah RM1.1 juta, rakyat Malaysia terus menyumbangkan kepada kempen ini.

Jelas sekali yang rakyat Malaysia menyokong bukan sahaja perjuangan untuk melawan dakwaan yang dibuat-buat terhadap Lim Guan Eng, tetapi juga perbuatan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seperti yang dinyatakan semasa pelancaran kempen ini, dana yang dikumpulkan ini akan digunakan untuk membayar wang ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah dan sebarang lebihan kutipan akan digunakan untuk membiayai usaha-usaha dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang untuk melawan kerajaan pintu belakang ini dan mengembalikan semula mandat rakyat kepada rakyat yang mengundi untuk perubahan pada tahun 2018.

Sekali lagi, kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyumbangkan kepada usaha ini. Sambutan yang luar biasa ini telah menyalakan semula api perjuangan untuk terus berjuang demi sebuah Malaysia yang lebih baik, dengan menyedari yang sekatan politik yang berlaku sekarang ini hanyalah sesuatu yang sementara dan kami akan kembali lebih kuat dan lebih baik dengan sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia. — Roketkini.com