Berita

Pemimpin DAP semarakkan kemerdekaan

Sempena bulan kemerdekaan, pemimpin-pemimpin DAP termasuk wakil-wakil rakyatnya telah menganjurkan-program program dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di kawasan masing-masing.

Program-program yang dijalankan di peringkat akar umbi itu termasuk, kempen mengibarkan Jalur Gemilang, kerja pemasangan bendera di kawasan awam dan penganjuran pertandingan bertemakan kemerdekaan.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook telah melancarkan kempen mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan DUN Temiang baru-baru ini.

Sebanyak 1,000 bendera kecil dan 9,000 keping pelitup muka diedarkan kepada orang ramai.

Sementara itu, pasukan Adun Ketari, Young Syefura Othman menjalankan kerja-kerja pemasangan Jalur Gemilang di simpang Ketari, Pahang.

“Jom semarakkan kasih dan cinta kita kepada negara pada bulan kemerdekaan ini,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, DAP Cawangan Indahpura menganjurkan program ‘Kami Anak Malaysia’ yang diisi dengan segmen-segmen menarik bagi menaikkan semangat kemerdekaan.

Ini termasuk segmen tulisan “MERDEKA” dalam bahasa Jawi, Tamil, Cina; memperkenalkan permainan tradisional, melukis sempena Hari Merdeka dan memahami maksud Jalur Gemilang.

Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim yang berkongsikan gambar-gambar program tersebut berkata, Malaysia sudah 63 tahun merdeka, justeru, isu perbezaan bangsa dan agama bukan satu masalah untuk berkasih sayang serta hidup harmoni di antara rakyat Malaysia. –Roketkini.com