Berita

DAP lahirkan ramai pemimpin wanita cemerlang

Tiada siapa yang boleh menyangkal kebolehan, kerajinan, dan kelincahan pemimpin wanita DAP dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab di lapangan.

Sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, seramai 31 pemimpin wanita DAP berjaya memenangi kerusi pilihan raya di kawasan yang ditandingi yang mana 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 9 kerusi Parlimen.

Cukup dengan menyebut beberapa nama pemimpin wanita DAP seperti Yeo Bee Yin dan Hannah Yeoh yang pernah menduduki hirarki tinggi dalam portfolio kementerian penting negara.

Tidak dilupakan pemimpin wanita DAP yang lain seperti Chong Eng, Teo Nie Ching, Jannie Lasimbang, Lim Yi Wei, Young Syefura, Kasthuri Patto dan ramai lagi.

Buktinya? Tidak perlu dinyatakan di sini, anda perlu rajinkan diri menatal jejari anda di skrin telefon untuk menelaah laman rasmi Facebook milik pemimpin wanita DAP.

Di laman ini merupakan ‘report card’ sebagai membuktikan gerak kerja mereka yang tercatat dan tiada siapa boleh menafikannya.

Demikianlah mengapa Organisasi Wanita DAP Sabah mencadangkan dengan lantang satu lagi bakat pemimpin wanita dari kawasan Pedalaman Sabah, Clare Taunek daripada DAP bagi mewakili blok Warisan Plus yang dilihat mempunyai keupayaan tinggi menewaskan pihak lawan di kawasan N.44 DUN Tulid.

Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang menegaskan bahawa Clare adalah calon yang paling sesuai diletakkan di kawasan itu berdasarkan khidmat dan gerak kerja yang telah dilaksanakan oleh Clare sejak 2015.

Jannie menyifatkan Clare sebagai seorang yang komited dengan tugas malah terbukti setia dan berintegriti selain berkalibar.

“Beliau tidak segan-silu berdamping bersama masyarakat kampung dan telah banyak mengikuti dan menganjurkan program khidmat komuniti masyarakat, mudah didekati dan pemimpin seperti inilah yang kita mahu,” kata Jannie. — Roketkini.com