Berita, Rencana

Program Subsidi Upah perlu diperkasa bantu pekerja, majikan

Program Subsidi Upah (PSU) adalah bantuan kewangan di bawah pakej Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Pada 5 Jun 2020, skim PSU dilanjutkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk tempoh 6 bulan secara keseluruhan dan akan berakhir pada Disember 2020.

Namun, pelbagai pihak termasuk pemimpin politik berpendapat program berkenaan tidak mencukupi bagi menampung keperluan majikan dan pekerja yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Berikut merupakan pandangan dan komen utama Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkenaan PSU.

PSU tidak cukup

  1. Ramai majikan, terutama PKS maklumkan bahawa subsidi upah sebanyak RM1,200 sebulan untuk tiga bulan bagi syarikat dengan jumlah pekerja kurang daripada 76 orang tidak mencukupi.
  2. Hanya 311,191 (22.3%) syarikat yang memohon skim PSU berbanding 1.361 juta syarikat yang berdaftar dengan Sijil Pendaftaran Perniagaan Malaysia (SSM).
  3. Majikan yang tidak memohon bantuan ini berkemungkinan kerana mereka tidak mampu bayar gaji pekerja sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) walaupun dengan bantuan PSU. Ini memungkinkan sebahagian pekerja mereka dipecat.
  4. Skim PSU juga tidak membantu industri pelancongan, yang menerima kesan amat buruk akibat PKP, berdasarkan kajian yang dibuat terhadap beberapa ahli Persatuan Hotel.

Berikut merupakan cadangan Kian Ming:

1) Naikkan subsidi upah daripada jumlah sedia ada.
2) Lanjutkan skim PSU sehingga sekurang-kurangnya Mac 2021.
3) Kembalikan dan pulihkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020;

  • Pakej ini diumumkan oleh mantan Perdana Menteri pada 27 Februari 2020.
  • Salah satu program yang akan beri manfaat secara langsung pada sektor pelancongan, iaitu program baucer digital perlu ditambah kepada RM200 seorang bagi pelancongan domestik untuk penerbangan, keretapi dan penginapan hotel berlesen.
  • Program ini pasti lebih memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan lebih efektif berbanding program Penjana Tourism Financing (PTF) yang merupakan program pinjaman dengan kadar bunga 3.5% setahun.

Kesimpulan:

Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan ini disokong oleh Kian Ming dengan syarat perbelanjaan mesti digandakan dan cadangan-cadangan yang dikemukakan dipertimbangkan oleh Menteri terlibat.

Teks ucapan penuh Kian Ming boleh dibaca di pautan berikut: https://dapmalaysia.org/Kenyataan-Akhbar/2020/08/18/30246/ — Roketkini.com