Berita

Pastikan agenda reformasi institusi sejak 2018 diteruskan – Kah Woh

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu, Wong Kah Woh berkata, beliau berpegang teguh bahawa semua prosiding yang dilakukan PAC perlu dilakukan dengan terbuka, telus serta demokratik.

Beliau berkata, ini sekali gus akan meningkatkan kepercayaan terhadap proses demokrasi di negara ini.

Menurutnya, beliau akan memastikan agenda reformasi institusi yang dilaksanakan sejak tahun 2018 dapat diteruskan dan diperkembangkan.

Selaras dengan itu, tambahnya, beliau berharap Yang Di-pertua Dewan Rakyat meneruskan usaha untuk meminda Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya juga berharap dapat memastikan Laporan PAC Parlimen dibahaskan dalam Dewan Rakyat dengan diberikan slot masa khusus untuk perbahasan laporan PAC Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, kata Kah Woh, pelantikannya sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut menuntut satu tanggungjawab yang berat dalam memastikan segala urusan, prosedur dan tatacara kewangan negara dipatuhi sekali gus wang rakyat benar-benar dibelanjakan secara berhemah serta efisien.

Beliau menegaskan, PAC akan terus memainkan peranan dengan berkesan dalam menyediakan mekanisme semak dan imbang dalam sistem demokrasi kepada kerajaan dengan lebih telus serta berakauntabiliti.

“Saya akan menggunakan pengalaman saya sebagai mantan naib pengerusi jawatankuasa ini selama kira-kira dua tahun untuk mengendalikan setiap prosiding PAC Parlimen dengan kepentingan negara dan rakyat diletakkan di tempat yang utama.

“Saya akan berkerjasama secara erat dengan Naib Pengerusi PAC, Datuk Azizah Mohd Dun dan ahli-ahli PAC yang bakal dipilih dalam melaksanakan tanggungjawab dan mandat yang diberikan,” katanya.

Sehubungan itu, jelasnya, beliau menyeru supaya Jawatankuasa Pilihan Parlimen membuat lantikan ahli-Ahli PAC dengan kadar segera untuk membolehkan PAC menjalankan tugas yang diamanahkan.

Beliau turut menyeru ahli-ahli PAC yang bakal dipilih Jawatankuasa Pemilih supaya mengetepikan ideologi dan pendirian politik masing-masing apabila mereka menghadiri mesyuarat PAC Parlimen supaya semua prosiding PAC dapat dijalankan tanpa rasa takut atau memihak mana-mana pihak.

PAC tambahnya, juga akan meneruskan konvensyennya yang mana segala keputusan-keputusan yang bakal dibuat akan dicapai secara persetujuan kesemua ahli-Ahli PAC.

“Saya hendak memastikan PAC Parlimen disanjung dengan kecekapan, kredibiliti dan integritinya,” ujarnya.

Beliau berkata, tumpuan utama PAC selepas ini sudah pasti adalah untuk menyelesaikan semua prosiding yang tertunggak dan membentangkan semua laporan prosiding di Dewan Rakyat selepas PAC Parlimen tidak bersidang hampir enam bulan sejak pertengahan Mac lalu.

“Kita telah kehilangan masa keemasan sepanjang tempoh Sidang Parlimen ini sepanjang tujuh minggu yang mana PAC patut bersidang pada masa yang sama, dan PAC Parlimen perlu mengorak langkah semula untuk menebus waktu yang hilang,” katanya. — Roketkini.com