Berita

Pemimpin muda Bersatu usah tiup sentimen kaum

Kenyataan Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkenaan sekolah vernakular kononnya gagal melahirkan pelajar yang memiliki jati diri negara adalah satu kenyataan yang bersifat perkauman dan tidak bertanggungjawab.

Tegas Ketua Biro Undang-Undang DAPSY Selangor, Quratulain Atiqah Norzahirul pendidikan sekolah vernakular masih berpandukan sistem pendidikan yang diiktiraf di Malaysia dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, sekolah vernakular juga tidak mendiskriminasi kaum lain dan menerima kemasukan pelajar daripada pelbagai latar kaum.

“Bukan sesuatu yang pelik jika Muthu mendaftarkan anaknya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan bukan sesuatu yang salah jika Siti ingin mendaftarkan anaknya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. 

“Malah, amalan ini telah lama diamalkan. Sehingga hari ini ramai anak Malaysia dari kalangan kaum Melayu fasih berbahasa Mandarin atau Tamil dan ada yang dari kalangan kaum Cina fasih berbahasa Tamil melalui pendedahan semasa di sekolah vernakular. 

“Tetapi situasi ini tidak boleh terus menghukum produk-produk sekolah vernakular tidak mempunyai jati diri nasional dan boleh dijadikan ukuran kegagalan sekolah vernakular,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas gesaan Wan Ahmad Fayhsal yang meminta sekolah vernakular dimansuhkan. 

Hormat pilihan ibu bapa

Mengulas lanjut, kata Quratul lagi, pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang diiktiraf oleh kerajaan haruslah dihormati. 

“Meskipun sekolah adalah antara institusi penting dalam membina jati diri anak Malaysia, tetapi untuk menghukum sekolah vernakular sebagai punca kegagalan pembinaan jati diri adalah satu kesimpulan yang bersifat tidak adil. 

“Jangan kita nafikan kejayaan-kejayaan anak-anak Malaysia yang lahir dari sekolah vernakular dan kejayaan para pendidik dalam melahirkan generasi cemerlang yang memiliki jati diri yang tinggi hanya untuk mempromosi sentimen peribadi,” katanya. 

Katanya, jika Wan Fayshal ikhlas meningkatkan sistem pendidikan negara, beliau seharusnya memberikan tumpuan kepada meningkatkan kurikulum sistem pendidikan termasuk di sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan selain mengambil berat tentang kebajikan dan keperluan sekolah kerajaan sedia ada.

“Meletakkan beban bahawa sekolah vernakular gagal melahirkan anak Malaysia yang mempunyai jati diri nasional adalah kenyataan yang jahil dan tidak adil. 

“Bagaimana pula dengan ibu bapa yang memilih sekolah antarabangsa sebagai pilihan, yang kebanyakkannya tidak mendukung aspirasi sistem pendidikan negara? 

“Adakah Saudara Wan Ahmad Fayshal berpendirian bahawa  sekolah antarabangsa ini lebih berjaya dan mampu melahirkan anak Malaysia yang mempunyai jati diri negara yang kuat? 

“Saudara Wan Ahmad Fayshal perlu bersifat adil, ataupun sememangnya mempunyai niat untuk meniup sentimen perkauman semata-mata. Anak Malaysia tidak perlukan pemimpin bersifat rasis seperti ini,” tegasnya. 

Sementara itu, Ketua DAPSY Batu Pahat, Shazwan Zdainal Abidin menggesa Wan Fayshal untuk berbincang terus dengan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin serta pemimpin Bersatu, MCA dan MIC sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut. 

“Armada tidak perlu mengeluarkan kenyataan hangat-hangat tahi ayam, sekadar melepaskan batuk di tangga untuk cuba menjuarai hati Melayu. 

“Ramai Melayu telah sedar, Bersatu kini tiada beza dengan UMNO dan PAS,” tegasnya. — Roketkini.com