Berita

DAP sokong penuh kepimpinan Shafie

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyenaraikan tiga sebab hak Sabah wajar dipertahankan dan Datuk Seri Shafie Apdal wajar disokong.

“Pertama, Shafie mahu wakil rakyat melambangkan suara tulen rakyat di (peringkat) DUN dan kerajaan, bukannya bertuhankan wang.

“Kerana Ketua Menteri tidak mahu wakil rakyat bertukar dari manusia kepada katak, beliau mahu beri semula kuasa kepada rakyat.

“Jangan ada pihak-pihak tertentu boleh menggunakan wang untuk sogok dan beli wakil rakyat.

“Beliau kembali balik kuasa kepada rakyat dan biarkan rakyat menentukan,” ujarnya dalam ucapan di hadapan kira-kira 200 ahli parti di Dewan Terbuka Bingkor, dekat Keningau, Sabah.

Kedua, kata Guan Eng wakil rakyat seharusnya memberikan segala tumpuan untuk berkhidmat demi rakyat dan bukan untuk golongan kaya.

“Kalau anda mahu wakil rakyat yang jaga hak rakyat bukan jaga hak orang kaya atas, anda kena sokong Shafie Apdal, Warisan, DAP dan rakan-rakan sekali.

“Kalau tidak lain kali mereka jadi wakil rakyat tidak akan memikir rakyat, mata hanya ada wang sahaja. Siapa ambil berat masalah rakyat?” ujarnya.

Ketiga, Guan Eng berpendapat bahawa PRN Sabah membuka tirai dan peluang terbaik untuk Sabah memimpin Malaysia.

“Shafie Apdal adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat. Dia tak mahu main wang, dia mahu berkhidmat untuk rakyat Sabah.

“Shafie Apdal berjiwa rakyat Sabah, beliau kembalikan kuasa kepada rakyat. Tengok geran-geran sebelum ini 99 tahun sudah jadi 999 tahun.”

Guan Eng merujuk kepada Kerajaan Warisan Sabah yang memperbetulkan kepincangan kerajaan BN yang mengurangkan tempoh geran tanah 999 tahun kepada 99 tahun secara tidak sah.

Justeru itu, beliau menekankan kemenangan Kerajaan Warisan akan membuka lembaran baru untuk Persekutuan Malaysia.

“Bila Shafie boleh menang di Sabah, ini menunjukkan kebolehan beliau sebagai pemimpin yang mewakili semua rakyat, semua kaum dan semua agama.

“Beliau berhak satu hari nanti untuk memimpin negara Malaysia,” ujarnya.

DAP zahir hasrat tanding semula di DUN Bingkor, teruskan legasi mendiang Stephen Wong

Gelombang kebangkitan rakyat mula bertapak di kawasan pedalaman Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 selepas DAP memenangi kerusi Parlimen Tenom buat julung kalinya.

Ia menjadikan Noorita Sual sebagai Ahli Parlimen Bumiputera Sabah pertama dari DAP, sekaligus menyerikan lagi wajah kepelbagaian budaya dan agama dalam parti.

Untuk kerusi DUN Bingkor, DAP hampir menang dengan perbezaan beratus undi sahaja.

Majlis perasmian Bilik Gerakan N.40 Bingkor

Di sebalik kecemerlangan tersebut, salah satu pemimpin yang banyak menyumbang jasa dan bakti adalah mantan Pengerusi DAP Sabah, mendiang Stephen Wong Tian Fatt.

Mesra dipanggil Fatt Gor (Abang Fatt), beliau ketika hayatnya banyak melakukan lawatan ke kawasan Keningau dan beramah mesra dengan penduduk setempat.

Beliau memberi sumbangan besar kepada pekembangan parti di kawasan pedalaman Sabah.

Justeru itu, Majlis Program Santai Bersama Ahli DAP Keningau yang diadakan pada 3 September lalu bertakafur seminit untuk mendiang sebagai tanda penghormatan.

Bagi meneruskan legasi Stephen, DAP berhasrat untuk bertanding di DUN Bingkor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang. — Roketkini.com