Berita, Rencana

Isu Veveonah: DAP gesa rujuk Zahidi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara

Senator Alan Ling Sie Kiong hari ini telah menghantar usul kepada Dewan Negara di bawah peraturan mesyuarat 26 yang melibatkan kenyataan palsu dan mengelirukan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin terhadap seorang pelajar Universiti Malaysia abah (UMS), Veveonah Mosibin.

Dakwaan palsu tersebut berupa jawapan beliau pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan pada 3 September 2020 lalu. Beliau menyatakan bahawa Veveonah Mosibin hanya mahu mengambil nama dalam videonya yang tular berkenaan usahanya untuk menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian.

Namun, pada 4 September 2020, saudari Veveonah telah menafikan kenyataan palsu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, malah telah menunjukkan Jadual Peperiksaan Akhir Semester 2, Sesi 2019/2020, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Sabah kepada pihak media.

Menurut Alan Kiong, sungguhpun Zahidi Abidin telah membuat permohonan maaf, ianya tidak cukup kerana kenyataan palsu beliau telah mendatangkan kesan buruk dan negatif kepada Veveonah serta keluarganya. Tambahnya lagi, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga telah mengelirukan dan mencemarkan integriti Dewan Negara yang mulia.

Oleh itu, Zahidi Abidin perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara untuk disiasat dan diambil tindakan tegas atas sikap tidak bertanggungjawab ini.

Senator itu juga berharap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dapat memutuskan sama ada Datuk Zahidi berkata benar berkenaan dakwaan mendapat maklumat tidak benar ketika memberi jawapan kepada Dewan Negara. Tindakan serius perlu diambil untuk menjaga integriti Dewan yang mulia ini. — Roketkini.com