Berita, Rencana

Bersama Warisan Plus, teruskan politik baharu demi rakyat Sabah

Oleh calon Warisan Plus (DAP) PRN Sabah

Kepada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti, Undi Warisan!

Hari ini adalah hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri Sabah. Sepanjang dua minggu lalu, kami telah menyantuni penduduk setempat di kedai-kedai kopi, pasar tamu, kedai, kampung dan perumahan kos rendah.

Ekoran pandemik Covid-19, kami juga telah memanfaatkan sosial media untuk berhubung dan menyampaikan aspirasi kami untuk Sabah yang lebih baik.

Sama ada di lapangan mahupun di media sosial, kami berasa begitu terharu dengan semangat yang ditunjukkan anda semua. Setiap sapaan, komen dan kata-kata semangat yang diberikan kepada kami sedikit sebanyak mengukuhkan lagi tekad kami untuk berjuang demi rakyat Sabah.

Ada yang mahu kami terus berjuang demi demokrasi dan menghapuskan ‘katakrasi’.

Ada juga yang memberikan galakan untuk kami terus berjuang demi Sabah, bagi menetapkan hala tuju politik baru.

Ada juga yang membangkitkan tentang masalah infrastruktur yang perlu ditangani.

Ada juga yang memberikan pandangan tentang penstrukturan semula dasar bagi menjadikan Sabah lebih baik.

Segala kata-kata semangat dan cadangan yang diberikan kami terima dengan hati yang terbuka. Kami berterima kasih kepada anda semua yang telah memberikan balasan yang ikhlas dan sokongan tidak berbelah bahagi.

Sebenarnya, PRN Sabah ini sepatutnya tidak diadakan, namun ia tercetus ekoran tindakan beberapa wakil rakyat yang melompat selepas dipujuk rayu bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman pada Julai lalu.

Mereka ini yang digelar sebagai “katak” berniat untuk melancarkan kudeta bagi meruntuhkan Kerajaan Warisan Plus yang dipilih rakyat.

Datuk Seri Panglima Shafie Apdal tiada pilihan. Beliau memohon untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri. Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri berkenan dengan permintaan tersebut, sekali gus menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu.

Sejak Pilihan Raya Umum 2018, kerajaan Warisan Plus, yang memperoleh mandat rakyat, telah memulakan beberapa siri tawaran dan program baharu demi rakyat Sabah.

Kerajaan memanfaatkan sumber kekayaan negeri untuk membangunkan industri hiliran. Sabah kini mempunyai kilang pembuatan minyak yang pertama. Eksport balak juga telah dihentikan bagi membolehkan sebuah hab perabot dibina di Sandakan.

Meskipun ekonomi negara mengalami kelembapan, terdapat peningkatan dalam angka tawaran pekerjaan di antara tahun 2018 dan 2019. Jumlah tawaran pekerjaan juga meningkat sebanyak 83,100.

Berpegang kepada keharmonian kepelbagaian kaum, kerajaan telah memperuntukkan RM43 juta kepada sekolah-sekolah bukan Islam dan rumah-rumah ibadat pada 2019 — satu peningkatan sebanyak 22.86 peratus berbanding RM35 juta pada 2018.

Sebelum ini, masyarakat Kristian hanya dapat menikmati cuti umum selama satu hari untuk Krismas. Disember lalu, Shafie mengisytiharkan Malam Krismas (Christmas Eve) sebagai cuti umum sekali gus membolehkan penganut Kristian kita pulang lebih awal. Sabah merupakan negeri pertama yang melaksanakan cuti umum Krismas dua hari di Malaysia.

Dalam respon kepada dakwaan ‘Al-Kitab (bible) terpesong’ oleh PAS, Shafie secara tegas mengingatkan PAS, yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar tidak mengeluarkan kenyataan ekstrem yang dapat memecahbelahkan masyarakat kita yang berbilang kaum dan pelbagai agama. Shafie sangat berpegang kepada ‘keharmonian dalam kepelbagaian’.

Ketika kempen pilihan raya, PN dan BN terus menerus memainkan mesej bahawa “Tiada pembangunan untuk Sabah tanpa Kuala Lumpur.” Hujah-hujah tersebut telah dimainkan selama 60 tahun pemerintahan BN, namun Sabah masih tidak maju.

Sebagai sebuah wilayah di Malaysia, Sabah ingin berkongsi kemakmuran dan matlamatnya dengan dua wilayah lain. Tetapi kami dengan tegas menolak taktik pemerasan yang selalu digunakan oleh PN / BN.

Sejak April, Kerajaan Sabah telah melaksanakan cukai jualan 5 peratus ke atas produk petroleum demi kemajuan rakyat Sabah. Namun, Petronas yang dikendalikan oleh PN / BN menolak untuk membayar. Ini menunjukkan rasa tidak hormat terhadap autonomi Sabah.

Rakyat Sabah menolak pemikiran ‘penjajah’ seperti ini, kerana kita ingin memenuhi matlamat dan visi kita untuk Sabah.

Kami berharap anda semua akan bergerak sederap, selari dengan Warisan Plus. Bersama-sama, marilah kita meneruskan politik baharu untuk kemajuan semua rakyat Sabah.

Esok adalah hari pengundian. Walau bagaimanapun, kita berada di tengah-tengah pandemik dan kita memahami kebimbangan anda mengenai keselamatan awam di tempat mengundi. Pihak berkuasa yang berkenaan telah melaksanakan langkah-langkah yang secukupnya untuk semua yang terlibat, seperti di bawah:

  1. Pakai topeng/pelitup dan basuh tangan anda dengan kerap.
  2. Gunakan pensanitasi di tempat mengundi.
  3. Mengundi mengikut waktu yang disarankan dalam kad pengundi untuk mengelakkan kesesakan. Walau bagaimanapun, anda masih boleh pergi pada bila-bila masa antara jam 7.30 pagi dan 5.00 petang atau waktu yang diwartakan, jika waktu yang disyorkan tidak sesuai untuk anda.
  4. Mereka yang mempunyai gejala sebelum tiba di tempat mengundi, akan dibenarkan untuk mengundi di bilik yang diperuntukkan khas.
  5. Pengundi yang dikuarantin boleh mengundi dengan mendapatkan kebenaran daripada pejabat kesihatan daerah. Mereka akan diiringi untuk mengundi di bilik yang diperuntukkan khas.
  6. Pesakit positif Covid-19 yang dimasukkan ke hospital TIDAK akan dibenarkan mengundi.

Yakinlah, dan berikan undi anda.

Hentikan Katak. Mantap Sabah Baru!

Kepada Tuhan Kita Yakin,
Berpadu Kita Mesti,
Roket Bersama,
Undi Warisan!

Calon N19 Likas
Tan Lee Fatt

Calon N21 Luyang
Phoong Jin Zhe

Calon N25 Kapayan
Jennie Lasimbang

Calon N40 Bingkor
Peter Saili

Calon N55 Elopura
Calvin Chong

Calon N56 Tanjong Papat
Frankie Poon

N69 Sri Tanjung calon
Justin Wong — Roketkini.com