Berita

KPT jangan bebankan mahasiswa

Kerajaan perlu lebih serius dalam menjaga kebajikan mahasiswa yang terpaksa mengharungi ‘norma baharu’ ekoran pandemik Covid-19, kata Naib Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Muhammad Shakir Ameer.

Katanya, perancangan berkaitan usaha mengekang penularan wabak itu di kalangan mahasiswa perlu dilaksanakan dengan berhemah serta terancang tanpa membebankan mereka.

Beliau bekata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Noraini Ahmad yang meminta Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menangguhkan pendaftaran kemasukan kembali mahasiswa dari zon merah Covid-19 yang sebelum ini dijadualkan bermula pada Oktober.

“Walaupun ramai memahami keputusan berikut, namun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seharusnya memikirkan bahawa keputusan yang dibuat di saat akhir, beberapa hari sebelum bulan Oktober ini akan membebankan para mahasiswa yang terbabit terutamanya bagi pelajar yang daripada negeri lain atau jauh.

“Keputusan saat akhir dan ‘u-turn’ seperti ini bukanlah kali pertama terjadi di bawah Menteri Pendidikan Tinggi yang sekarang.

“Sebelum ini keputusan untuk menangguhkan sesi pembelajaran IPTA ke tahun 2021 telah ditukar kepada Oktober 2020.

“Apabila keputusan ini diumumkan, ia juga telah membebankan para mahasiswa,“ ujar Shakir dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi, difahamkan ada juga pelajar yang telah membayar deposit hostel serta membeli tiket kapal terbang untuk balik ke kampus masing-masing bagi semester yang akan datang.

Dengan penangguhan ini, katanya, pelajar akan rugi, sekaligus menambah beban para pelajar khususnya daripada golongan B40.

Oleh itu, Shakir mencadangkan agar KPT mencari jalan untuk memudahkan penebusan deposit hostel.

Beliau turut menggesa KPT bekerjasama dengan syarikat pengangkutan khususnya syarikat kapal terbang untuk menuntut balik pembayaran tiket kapal terbang atau memberikan fleksibiliti menukar jadual penerbangan tanpa melibatkan sebarang kos.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan memberikan elaun atau bantuan kewangan bagi golongan mahasiswa daripada golongan B40 kerana difahamkan ramai pelajar berstatus bujang tidak layak mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0. – Roketkini.com