Berita, Rencana

Kes Covid-19 kembali meningkat, DAP mohon tangguh kongres

Oleh Loke Siew Fook

(Setiausaha Organisasi DAP)

Pada 6 Julai 2020, saya telah menulis surat kepada Ketua Pengarah, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk memohon kelulusan khas untuk menangguhkan Kongres Parti DAP yang sepatutnya diadakan pada tahun ini untuk tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Pada 7 September 2020, pihak ROS telah membalas surat saya dan menasihatkan pihak DAP untuk melaksanakan Kongres Parti sebelum 31 Disember 2020.

Kerja-kerja persiapan untuk mengadakan Kongres Parti telah pun dimulakan dan proses untuk menghantar notis kepada cawangan sedang dilaksanakan.

Namun, peningkatan kes penularan wabak Covid-19 yang mendadak dan amat membimbangkan dalam tempoh beberapa hari ini ekoran Pilihanraya Negeri Sabah mengundang risiko tinggi sekiranya Kongres Parti diadakan pada penghujung tahun ini. Ini kerana Kongres Parti melibatkan hampir 4,000 perwakilan dan semua perwakilan perlu hadir secara fizikal untuk proses pengundian. 

Justeru itu, saya telah menghantar surat rayuan pada hari ini kepada Ketua Pengarah ROS untuk memohon supaya kelulusan diberikan untuk penangguhan Kongres Parti DAP untuk sekurang-kurangnya 6 bulan lagi sehingga keadaan lebih terkawal. 

Saya berharap pihak ROS akan memberikan pertimbangan kepada permohonan kami secepat mungkin memandangkan keadaan semasa adalah luar biasa dan di luar kawalan kami. — Roketkini.com