Berita, Rencana

Wakil rakyat, pemimpin DAP Johor lancar inisiatif bantu siswa

Kenyataan media Ahli Parlimen DAP Negeri Johor pada hari Sabtu 3 Oktober 2020.

24 jam telah berlalu sejak keluh kesah dan kebimbangan orang ramai disuarakan di media sosial berikutan nasib mahasiswa di beberapa Institusi Pengajian Tinggi yang terkandas jauh dari kampung halaman setelah dihalang mendaftar di kolej dan universiti masing-masing berikutan angka jangkitan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Kelemahan Kementerian Pengajian Tinggi dalam menguruskan hal terbabit telah memaksa organisasi politik dan individu untuk menawarkan bantuan kewangan serta penginapan kepada mahasiswa yang terjejas. Tahniah dan terima kasih buat seluruh rakyat Malaysia yang telah menunjukkan semangat solidariti yang begitu hebat.

Mengambil semangat yang sama, kami Ahli-ahli Parlimen and Pemimpin DAP Negeri Johor dengan ini memberi komitmen RM2,000 seorang untuk menyediakan sebuah tabung khas bagi membantu mahasiswa anak negeri Johor yang menghadapi kesukaran di perantauan; dengan jumlah terkumpul setakat ini sebanyak RM12,000.

Mahasiswa Johor yang memerlukan boleh memohon bantuan daripada dana Bantu Siswa #JohorJagaJohor secara atas talian di pautan: http://bit.ly/JohorJagaJohor

Pihak kami akan berurusan dengan anda secepat mungkin.

Mahasiswa adalah amanah yang dipikul oleh kita semua. Merekalah hati nurani dan denyut nadi rakyat Malaysia. Kami berikrar untuk terus menjaga mereka sedaya mungkin.

Ditandatangani,

Liew Chin Tong
Ahli Dewan Negara, Pengerusi DAP Johor

Pang Hok Liong
Ahli Parlimen P.142 Labis

Yeo Bee Yin
Ahli Parlimen P.145 Bakri

Wong Shu Qi
Ahli Parlimen P.152 Kluang

Lim Kit Siang
Ahli Parlimen P.162 Iskandar Puteri

Teo Nie Ching
Ahli Parlimen P.163 Kulai — Roketkini.com