Berita, Rencana

Pembelajaran atas talian: Kerajaan perlu teliti semula kebajikan pelajar

Aliya Ashiqin 

(Setiausaha Publisiti Pemuda Sosialis DAP Damansara)

Berikutan kadar peningkatan kes dan dalam usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan pendaftaran kemasukkan pelajar-pelajar ke universiti awam secara fizikal.

Walau bagaimanapun, tatacara pengurusan kaedah pembelajaran pelajar terus menjadi teka-teki jika penularan wabak ini akan terus meningkat dan keputusan untuk pembelajaran atas talian merupakan satu-satunya pilihan yang ada.

Maka, pihak kerajaan khususnya KPT harus meneliti semula serta  memperhalusi kebajikan pelajar-pelajar terutama daripada golongan berpendapatan rendah, B40. 

Isu utama yang perlu menjadi keutamaan KPT ialah berkenaan ketiadaan komputer dan capaian internet yang terhad merupakan kekangan utama pelajar-pelajar untuk belajar atas talian.

Kebanyakan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan ibu bapa yang terkesan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) – tidak mempunyai wang untuk membelikan anak-anak mereka komputer.

Oleh itu, mereka hanya menggunakan telefon pintar untuk menjalankan pembelajaran di atas talian. Akan tetapi, penggunaan telefon pintar untuk tujuan pembelajaran adalah terbatas.

Mereka tidak dapat menumpukan perhatian di dalam pembelajaran atas talian dan menyiapkan tugasan “assignment” kerana fungsinya yang terhad dan saiz yang kecil.

Pelajar-pelajar yang tidak memiliki komputer riba dan mengambil jurusan kejuruteraan dan perisian IT (IT software) merupakan golongan yang paling terkesan.

Kesukaran pencapaian internet merupakan faktor ketua yang akan menjadi kegagalan pembelajaran atas talian. Lebih membimbangkan lagi, apabila pelajar-pelajar yang tinggal di luar bandar dan kawasan pendalaman serta mempunyai akses internet yang terhad terpaksa berulang alik ke bandar untuk menjalani pembelajaran atas talian.

Secara puratanya, kawasan pendalaman merupakan kawasan yang tidak mempunyai infrastruktur yang lengkap seperti kemudahan jalan raya yang baik.

Maka, kos perjalanan juga akan bertambah dan juga menjadi punca pelajar tidak hadir ke kelas atas talian. Oleh itu, kerajaan perlu memperhalus dan mengkaji semula kaedah untuk melaksanakan pembelajaran atas talian agar pelajar-pelajar tidak ketinggalan dan dapat menyempurnakan pembelajaran mereka dengan baik. 

Antara kaedah yang boleh kerajaan meneliti adalah seperti pemberian subsidi dan insentif kepada golongan bersasar.

Contoh, pemberian subsidi pembelian komputer kepada pelajar yang tergolong dalam kumpulan sasar B40 dan golongan miskin baru seperti ibu bapa yang hilang pekerjaan berikutan PKP.

Pihak kerajaan juga boleh memperkenalkan cukai rebat atau pelepasan cukai untuk syarikat atau individu yang membelikan komputer riba kepada pelajar-pelajar ini.

Kedua, pihak kerajaan memberi galakkan kepada syarikat baiki komputer untuk membaiki laptop pelajar-pelajar B40 yang rosak.

Secara tidak langsung, hal ini boleh membantu merancakkan industri dan pasaran perkakasan komputer dan menyumbang kepada pertumbahan ekonomi tempatan. 

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) harus bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi di Malaysia untuk membekalkan pencapaian Internet kepada kawasan luar bandar dan memberi pelan data mudah alih secara percuma atau bekalan internet berkala khas kepada pelajar semasa tempoh pembelajaran iaitu pada jam lapan pagi sehingga enam petang.

Kemudahan infrastruktur capaian internet dan bekalan komputer yang boleh dipasang di pusat komuniti setempat seperti balai raya untuk memudahkan pelajar-pelajar yang di kawasan luar bandar menggunakan kemudahan internet agar mereka boleh mengikuti pembelajaran atas talian dan menyiapkan tugasan “assignment”.

Akhir sekali, kerajaan juga boleh mempertimbang semula untuk membenarkan kemasukan pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan untuk menetap di kampus agar mereka boleh menggunakan kemudahan komputer dan Internet yang disediakan oleh pihak universiti. 

Seiiring dengan Sustainable Development Goals Ke-Empat iaitu memastikan keterangkuman dan kesaksamaan untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat, pihak kerajaan perlu memberi peluang sama rata kepada semua pelajar termasuklah golongan miskin bandar dan luar bandar dalam mendapatkan akses dan pendekatan pendidikan bersepadu terutama di dalam era digital dimana kemudahan komputer riba dan Internet merupakan keperluan bagi pelajar-pelajar ini bagi melaksanakan pembelajaran atas talian. — Roketkini.com