Berita, Rencana

Banci 2020: Penjadualan semula langkah baik, tapi perlu usaha lebih tegas

Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 12 Oktober 2020

Penjadualan semula Banci 2020 adalah Langkah yang baik tetapi usaha yang lebih tegas perlu diambil sebagai penyediaan untuk banci secara bersemuka (“face to face”) pada awal tahun 2021

Banci, yang dilakukan setiap 10 tahun sekali, merupakan aktiviti pengumpulan data yang penting bagi negara. Maklumat bancian akan digunakan oleh agensi kerajaan di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tujuan perancangan dan peruntukan dana. Sektor swasta juga akan menggunakan bancian untuk pelbagai tujuan termasuk merancang pembangunan perumahan dan kawasan membeli belah masa depan. Oleh yang demikian, amat penting untuk memastikan bahawa hasil banci 2020 adalah setepat mungkin. Malangnya, virus Covid-19 berpotensi untuk mengganggu pengumpulan maklumat untuk Banci 2020.

Pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed, dan Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin, pada 5 Oktober 2020 bahawa bahagian Banci 2020 secara bersemuka akan dijadual semula ke 2021 adalah langkah yang sangat dialu-alukan . Pengumuman bahawa tarikh akhir e-census akan dipanjangkan dari 30 September 2020 ke 21 Disember 2020 juga merupakan langkah yang baik. Ini memandangkan situasi terkini di mana penularan tempatan kes Covid-19 semakin meningkat. Tetapi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang bertanggung jawab untuk Banci 2020, perlu menambah baik persediaan untuk mempersiapkan banci bersemuka yang akan berlangsung dari 20 Januari hingga 6 Februari pada tahun 2021.

Pada 4 Oktober 2020, hanya 3.25 juta penduduk atau kira-kira 10% telah direkodkan menggunakan E-Census 2020. Kadar tindak balas yang agak rendah ini disebabkan oleh beberapa faktor termasuk (i) Responden belum menerima ‘poskad’ dari DOSM dengan ‘kod jemputan’ untuk mengisi e-census (ii) Responden tidak mengetahui cara mengakses Laman web E-Census (iii) Responden tidak mengetahui cara mengisi bancian secara atas talian. Saya sendiri mengisi e-census untuk rumah tangga saya yang terdiri daripada 2 orang dan saya mengambil masa lebih dari setengah jam untuk mengisi bancian yang lebih daripada 100 soalan. Mereka yang belum mengisi E-CENSUS kemungkinan berasal dari kumpulan yang kurang selesa dengan penggunaan IT, dari generasi warga emas atau tinggal di kawasan luar bandar. Walaupun polisi untuk menggalakkan lebih ramai orang untuk mengisi Banci secara elektronik adalah langkah yang positif, pada hakikatnya, sebahagian besar banci perlu diisikan secara bersemuka.

Menurut angka dari laman web Banci 2020, kebanyakan negeri dengan ramai penduduk di kawasan luar bandar mencatatkan kadar respons yang agak rendah kepada E-CENSUS termasuk Kelantan (4.1%), Sabah (4.3%), Terengganu (4.6%), Kedah (7.7 %), Pahang (8.5%) dan Sarawak (8.5%). (Lihat Jadual 1 di bawah). Pada masa yang sama, Selangor, negeri dengan penduduk yang terbesar di Malaysia (6.3 juta atau sekitar 20% penduduk negara), yang juga merupakan negeri dengan kadar urbanisasi yang tinggi, hanya mempunyai kadar respons 11.2% pada 4 Oktober 2020.

Walaupun dengan lanjutan tarikh akhir e-census sehingga 21 Disember 2020, kemungkinan besar sekurang-kurangnya 80% daripada 8 juta isi rumah di Malaysia akan mengisi Banci 2020 secara bersemuka (“face to face”). DOSM telah menetapkan tarikh 20 Januari hingga 6 Februari 2021 untuk penyiapan Banci 2020 secara bersemuka. Dalam masa 17 hari dan sebanyak 6.4 juta isi rumah untuk tinjauan di seluruh negara, dianggarkan DOSM akan memerlukan sekurang-kurangnya 38,000 penghitung banci.   Untuk Sarawak sahaja, dianggarkan memerlukan 8000 penghitung banci.  

Jadual 1: % Isirumah yang telah mengisikan banci secara elektornik i.e. menggunakan E-CENSUS

image.png

Sumber: https://www.mycensus.gov.my/index.php/media-2/press-release

Penghitung banci ini perlu diberi latihan seperti bagaimana menolong responden mengisi banci termasuk dalam bahasa selain Bahasa Malaysia (BM), jika perlu , dan mereka perlu juga dimobilasasi ke kawasan yang ditentukan.

Garis masa asal untuk menghabiskan banci secara bersemuka sepatutnya berlaku dari 7 Oktober hingga 24 Oktober 2020. Menjelang tarikh permulaan yang asal ini, pejabat saya mula menerima banyak mesej dari Pejabat Daerah Hulu Langat dan agensi lain mengenai pengambilan penghitung banci untuk jangka masa pendek. Saya tidak pasti sama ada kuota pengisi banci ini dapat diisikan tetapi DOSM akan menghadapi cabaran yang serupa untuk merekrut dan mengisi jawatan sementara ini pada tahun 2021.

Saya menyeru DOSM untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi di peringkat negeri dan persekutuan termasuk mereka yang mencari pekerjaan untuk mengisi jawatan sementara ini.   Pengambilan penghitung banci harus bermula lebih awal lagi untuk mengelakkan permintaan pada saat-saat terakhir (“last minute requests) untuk mengisikan jawatan ini. Akhirnya, DOSM juga harus mempertimbangkan untuk memanjangkan jangka masa untuk banci bersemuka dari 17 hari kepada 24 hari atau lebih lama lagi kerana proses pengisian banci mungkin memerlukan waktu yang lebih lama kerana langkah keselamatan dan SOP akibat daripada Covid-19. — Roketkinic.om