Berita, Rencana

‘Bagaimana nak kerjasama dengan Najib jika dia tak sedia akui skandal 1MDB?’

Komen Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Khamis 15 Oktober 2020:

Awal pagi hari ini, saya telah menerima mesej mengenai sama ada laporan The Coverage yang bertajuk “DAP Lim Kit Siang : ‘To Save Malaysia, I Am Prepared To Work With Najib To Restore Democracy & Implement Key Reforms’ ” yang bertarikh 15 Oktober 2020 dikeluarkan oleh saya. 

Berikut adalah jawapan saya: “Kenyataan ini adalah kenyataan bersyarat, di mana prinsip dan objektif negara diberikan keutamaan. Ya, saya bersedia untuk bekerjasama dengan Najib untuk menyelamatkan Malaysia — tetapi bagaimanakah perkara ini hendak dilakukan jika beliau tidak bersedia mengakui mengenai skandal 1MDB?”

Laporan portal The Coverage ini telah tular di media sosial, dengan objektif untuk mengatakan yang saya bersetuju untuk DAP bekerjasama dengan Najib Razak dan UMNO untuk membentuk sebuah kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan Muhyiddin. 

Ini adalah kerja “pemengaruh” media sosial dengan sokongan tentera siber mereka untuk menyebarkan berita dan tanggapan palsu. 

Laporan ini sebenarnya adalah laporan daripada akhbar Malay Mail yang bertarikh 12 Mac 2016, semasa Najib masih lagi merupakan seorang Perdana Menteri, sejurus selepas saya menandatangani Deklarasi Rakyat pada Mac 2016 untuk Menyelamatkan Malaysia. 

Sudah terdapat banyak perkembangan yang berlaku dalam tempoh empat tahun yang berlalu — kejatuhan kerajaan Najib, Najib didapati bersalah di atas tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau bersama-sama dengan menteri beliau berhadapan dengan pelbagai lagi dakwaan rasuah di mahkamah, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang disebabkan oleh konspirasi “Langkah Sheraton” selepas 22 bulan, dan negara kita berhadapan dengan pemerintahan tidak sah dan kakistokratik yang membawa bersamanya gelombang kedua dan ketiga wabak Covid-19. 

Matlamat “Selamatkan Malaysia” daripada sebuah trajektori kleptokratik, kakistokratik, dan sebuah negara gagal ini kekal relevan dan mendesak. 

Cabarannya adalah sama ada kita mampu untuk memberikan inspirasi kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang politik, kelas, umur, mahupun jantina, untuk bersama “Selamatkan Malaysia” — selepas kegagalan usaha menyelamatkan Malaysia sebelum ini. — Roketkini.com