Berita, Rencana

Urusan PAC perlu segera disambung semula

Oleh Wong Kah Woh

(Ahli Parlimen Ipoh Timor)

Parlimen akan bersidang semula pada Hari Isnin, minggu depan. Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun perlu memastikan pelantikan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen dapat disempurnakan pada hari pertama Parlimen sidang bermula untuk memastikan urusan PAC dapat bersambung semula setelah dilumpuhkan sejak bulan Mac yang lepas.

Saya telah menulis surat kepada Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada minggu lepas berkenaan dengan permohonan dan seruan saya di atas. Saya berharap Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dapat memandang serius perkara ini dan masalah yang dihadapi oleh PAC sekarang.

Walaupun Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC telah dilantik dalam sidang Parlimen pada 27 Ogos yang lepas, mesyuarat-mesyuarat PAC yang tergendala sejak bulan Februari masih tidak dapat dijalankan memandangkan ahli-ahli PAC masih belum dilantik. Ini juga merupakan perkara yang saya bangkitkan semasa mendesak supaya Parlimen tidak melengah-lengahkan dalam pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC, yang mana PAC mungkin “dicutikan” sehingga bulan November sekiranya pelantikan ditangguh.

PAC perlu menebus semula waktu yang hilang. Dalam beberapa minggu yang lepas, saya bersama Sekretariat PAC telah berbincang berkenaan dengan kes-kes tertangguh dan mengatur jadual PAC untuk bermesyuarat sejurus selepas Parlimen bersidang semula dengan pelantikan ahli-ahli PAC. Taklimat pertama yang dijadualkan adalah pada 3 November iaitu hari kedua Parlimen sessi ini, dan disambung dengan urusan-urusan yang lain. Kita berhasrat untuk membentangkan satu laporan PAC pada minggu pertama parlimen dan satu lagi laporan PAC pada minggu kedua.

Suatu PAC yang efektif dan efisien adalah penting untuk Parlimen dalam memainkan peranannya untuk semak seimbang pentadbiran eksekutif. Kita tidak mempu untuk apa-apa penangguhan lanjut dalam melaksakan kerja kita lagi. Oleh yang demikian, adalah penting dan perlu untuk Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun memastikan pelantikan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen dapat disempurnakan pada hari pertama sidang bermula. — Roketkini.com