Berita

Laporan PAC: 97 transaksi penjualan tanah DBKL tidak rujuk SOP

Kaedah penyelesaian terhadap 97 transaksi penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah terjual sejak tahun 2011 tidak merujuk kepada sebarang prosedur operasi standard (SOP), rumus Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, berdasarkan prosiding dijalankan, pihaknya mendapati proses tersebut adalah terlalu longgar, terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan kurang melindungi kepentingan DBKL dan warga kota Kuala Lumpur.

“DBKL tidak mempunyai sebarang SOP bagi urusan pelupusan atau penjualan tanah miliknya.

“Hanya selepas tahun 2015, DBKL menambah baik proses penjualan dan pelupusan tanah menerusi pemerkasaan Jawatankuasa Penswastaan melalui penyediaan senarai semak yang mempunyai prosedur yang lebih terperinci dan mendapat pengiktirafan ISO (tahun 2017),” kata kenyataan tersebut hari ini.

Sementara itu, menurutnya, Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang telah diluluskan oleh menteri adalah berbeza dengan draf pelan yang dibentangkan kepada orang awam pada 2008.

Draf pelan yang digazet belum pun mendapat maklum balas daripada semua pihak berkepentingan di Kuala Lumpur, ujarnya.

“Lebih daripada 200 DO telah dikeluarkan oleh DBKL sementara menunggu kelulusan Menteri Wilayah Persekutuan ke atas pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang menyebabkan beberapa perubahan berikut…

“…Kesan negatif kepada alam sekitar, penukaran kepada zon komersil dan penambahbaikan kepadatan (density) termasuk plot ratio,” katanya.

Jelasnya, pengurusan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terdedah kepada konflik kepentingan memandangkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur turut memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah dalam WYP yang mempunyai urusan pembelian tanah dengan DBKL.

Tambahnya, Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah berperanan sebagai ‘custodian’ yang melindungi kebajikan warga kota Kuala Lumpur.

“Pengurusan YWP sebagai sebuah syarikat yang didaftar di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta Syarikat 2016) tidak dapat dipantau oleh mana- mana pihak berkuasa termasuk JAN,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAC mengesyorkan kepada kerajaan supaya urusan penjualan dan pelupusan tanah milik DBKL perlu dijalankan secara telus, terbuka dan berdasarkan SOP yang komprehensif.

Beliau memberitahu, ini termasuk bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan proses kerja berkaitan.

“Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL perlu mengkaji semula Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 dengan mengambil kira perubahan daripada draf asal.

“Ini kerana dalam tempoh masa antara draf pelan dan pelan yang telah diwartakan, lebih 200 arahan pembangunan (DO) telah dikeluarkan secara khusus mengakibatkan kesan negatif kepada alam sekitar, penukaran kepada zon komersil dan penambah kepadatan (density) termasuk plot ratio,” kata kenyataan itu hari ini.

Kah Woh menambah, kerajaan perlu mengkaji semula fungsi dan kesesuaian YWP selari dengan hasrat penubuhannya bagi melindungi kebajikan warga kota Kuala Lumpur.

Struktur dan amalan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang sedia ada tidak membolehkan penglibatan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur tanpa kewujudan konflik kepentingan.

“Status YWP hendaklah diubah menjadi sebuah badan berkanun bagi membolehkan pemantauan yang lebih efektif oleh pihak kerajaan,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC berhubung penjualan tanah milik DBKL di bawah KWP boleh memuat turun (download) laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac. — Roketkini.com