Berita, Rencana

Anthony persoal tindakan senyap-senyap kerajaan batal pengecualian dasar kabotaj

Mantan menteri pengangkutan, Anthony Loke mempersoalkan tindakan kerajaan yang secara senyap-senyap membatalkan pengecualian dasar kabotaj yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi mempercepat pembaikan kabel bawah laut internet Malaysia.

“Kementerian Pengangkutan, apakah pertimbangan kerajaan dalam membatalkan pengecualian dasar kabotaj untuk kerja pembaikan kabel mulai 13 November 2020 seperti yang diwartakan dalam PU (B) 592 baru-baru ini?

“Apakah suara dan permintaan dari industri telekomunikasi dan internet tempatan diambil kira? Apakah kepentingan negara Malaysia dari segi pembangunan industri internet era IR 4.0 diberi keutamaan?

“Kenapa menteri pengangkutan seolah-oleh membuat keputusan secara unilateral tanpa mengambil kira ulasan dan permintaan dari KKMM, Mosti, Miti dan kementerian yang lain?

“Kenapa Menteri Pengangkutan membuat keputusan dasar yang begitu penting secara senyap-senyap – tanpa membuat apa-apa kenyataan awam untuk menerangkan kepada semua pemegang taruh (stakeholders) sebab-sebab MOT perlu membuat U-turn daripada dasar pengecualian dasar kabotaj yang sejak 2019 disambut baik oleh industri?” soalnya pada sesi perbahasan di Parlimen.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan yang diterajui Anthony menerima permohonan daripada wakil industri internet serta GLC untuk memudahcarakan proses permohonan lesen perkapalan bagi kapal asing yang terlibat dalam kerja pembaikan kabel dasar laut.

Jelas Anthony, setelah membuat penilaian terperinci dan juga sesi taklimat oleh pegawai kanan KKMM, beliau berpuas hati bahawa permintaan tersebut adalah munasabah dan impak kepada perniagaan perkapalan tempatan adalah minimum.

“Untuk makluman tiada kapal Malaysia yang memenuhi syarat teknikal untuk membuat kerja pembaikan kabel dasar laut – ini adalah fakta yang dikemukakan oleh syarikat telekomunikasi Malaysia termasuk TM dan disokong oleh KKMM,” ujarnya.

Justeru itu, pengecualian dasar kabotaj dikuatkuasakan bermula 1 April 2019 setelah mendengar pandangan dan permintaan pemegang taruh, malah disambut baik oleh pemain industri internet kerana tempoh masa yang diperlukan untuk mendapat lesen perkapalan dalam negeri dipendekan sekurang-kurangnya 14 hari berbanding dengan proses terdahulu.

Susulan itu, katanya, beliau dimaklumkan beberapa syarikat teknologi antarabangsa telah membuat keputusan melabur berbilion ringgit untuk membangunkan pusat data serta membina pendaratan kabel baru di Malaysia.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Seremban, Singapura sekian lama menjadi negara pilihan untuk pendaratan kabel dasar laut dan pembinaan pusat data di rantau ini berikutan dasar mereka dan insentif yang agresif.

Pun begitu, katanya, Malaysia mampu bersaing dan mengalahkan Singapura dalam industri baru itu atas faktor mempunyai kelebihan kos tanah dan operasi, selain berada di kedudukan geografi yang lebih strategik berbanding negara jiran tersebut.

“Industri pusat data kini berkembang pesat di seluruh dunia.

“Apabila sesebuah negara menjadi pusat kepada pelaburan pusat data dan menjadi hub kepada pendaratan kabel dasar laut, maka banyak faedah dapat diraihkan oleh negara tersebut termasuk peluang pekerjaan baru, dan juga mutu perkhidmatan telekomunikasi dan internet yang lebih laju dan lebih murah,” tegasnya.

Dasar kabotaj bertujuan untuk mengurangkan pergantungan pada perkapalan asing serta mengekalkan industri perkapalan dan pembuatan kapal Malaysia.

Menerusi dasar ini, hanya kapal berdaftar dan milik Malaysia yang boleh menggunakan laluan pelayaran domestik di Malaysia kecuali pengecualian diberikan. — Roketkini.com