Berita

PAC pandang serius laporan TI

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memandang serius Laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020 yang diterbitkan oleh Transparency International (TI).

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pihaknya akan memanggil TI untuk memberikan taklimat berkenaan laporan tersebut.

“PAC Parlimen juga akan memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memberikan laporan dan ulasan SPRM berkenaan dengan Barometer Rasuah Global Asia 2020 dan hala tuju SPRM dalam memerangi rasuah dan meningkatkan integriti pentadbiran awam Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Laporan yang diterbitkan TI itu mendapati 71% rakyat Malaysia merasakan masalah rasuah dalam kerajaan adalah satu masalah yang besar dan 39% rakyat Malaysia merasakan yang masalah rasuah telah meningkat dalam tempoh 12 bulan yang lepas.

Laporan yang sama juga menunjukkan 30% rakyat Malaysia merasakan kerajaan tidak melakukan yang terbaik dalam memerangi rasuah dan 13% rakyat Malaysia pernah memberi wang suapan dalam perkhidmatan awam dalam tempoh 12 bulan yang lepas.

Laporan itu turut mendapati kadar kepuasan terhadap SPRM pula berada pada paras 74%.

Pada masa yang sama, 25% rakyat Malaysia yang ditinjau berpendapat bahawa Presiden atau Perdana Menteri adalah korup, dan ini adalah lebih tinggi berbanding sembilan negara Asia yang lain iaitu Taiwan (24%), Maldives (22%), Bangladesh (20%), Indonesia (20%), Myanmar (18%), China (15%), Vietnam (8%), Filipina (7%) dan Kemboja (7%).

“PAC Parlimen berpendapat angka ini menunjukkan ketidakyakinan rakyat Malaysia terhadap integriti pentadbiran awam Negara serta anggota anggotanya.

“Faktor-faktor yang menyumbang kepada situasi ini harus dikenal pasti dan usaha-usaha ke arah membanteras rasuah perlu dipertingkatkan.

“Keberkesanan Pelan Pencegah Rasuah Kebangsaan (NACP) juga perlu dikaji memandangkan tempoh soal selidik laporan ini adalah dalam tempoh masa pelaksanaan NACP,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor. — Roketkini.com