Berita, Rencana

Jadikan Veveonah Mosibin sebagai Greta Thunberg Malaysia

Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 30 November 2020:

Jadikan Veveonah Mosibin sebagai Greta Thunberg Malaysia untuk memberi inspirasi kepada para belia di Malaysia dan di seluruh dunia untuk menerajui perubahan dalam menghapuskan kemiskinan digital — masa untuk memperkasakan golongan millennial di Malaysia

Saya telah mencadangkan yang Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah patut menubuhkan satu pasukan tindakan yang diketuai oleh Veveonah Mosibin untuk menjalankan tinjauan di keseluruhan negeri Sabah untuk memastikan tidak ada sesiapa pun lagi perlu meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok atau berkumpul di atas jambatan yang usang untuk mendapatkan sambungan internet yang lebih baik untuk mendapatkan akses pendidikan. 

Saya katakan yang Malaysia akan menjadi perbualan berita antarabangsa sekiranya RM81.5 juta yang diperuntukkan untuk pengembalian JASA ini dipindahkan untuk membentuk sebuah Pasukan Tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri yang diketuai oleh Veveonah Mosibin untuk menyelesaikan masalah akses internet di kawasan pedalaman Sabah untuk memudahkan proses pembelajaran dalam talian semasa wabak Covid-19.

Pelantikan Veveonah Mosibin untuk mengetuai pasukan tindakan ini akan menjadi bukti komitmen Malaysia terhadap sumbangan daripada golongan wanita, belia, dan minoriti, untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan muda dalam negara kita dalam menggunakan platform pembelajaran atas talian.

Namun, cadangan ini langsung tidak disambut oleh keempat-empat individu utama dalam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah yang seharusnya paling prihatin dengan jurang digital di Sabah ini, iaitu Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Mohd Noor dan, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang telah makan malam bersama dengan Veveonah semasa pilihan raya umum negeri Sabah.

Jadikan Veveonah Mosibin sebagai Greta Thunberg Malaysia untuk memberi inspirasi kepada para belia di Malaysia dan di seluruh dunia untuk menerajui perubahan dalam menghapuskan kemiskinan digital.

Mengapa Radzi, Saifuddin, Hajiji dan Muhyiddin begitu keberatan dalam menyokong cadangan seperti ini?

Persoalan boleh ditimbulkan, mengenai sama ada Veveonah yang berusia 18 tahun sesuai untuk mengetuai pasukan tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri untuk menangani jurang digital di pedalaman Sabah.

Saya jawab; mengapa tidak? Dari kepetahan, keazaman, dan usahanya, bahkan beliau berusaha meluangkan 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan akses internet yang lebih baik untuk menduduki peperiksaan dalam talian. Saya yakin sepenuhnya dengan kelayakan beliau untuk mengetuai pasukan tindakan ini untuk memerangi kemiskinan digital di pedalaman Sabah. Beliau akan mengetuai usaha untuk menyelesaikan masalah yang pernah dihadapinya sendiri. 

Saya rasa beliau mempunyai kepetahan, keazaman, dan usaha yang lebih hebat berbanding dengan Radzi, Saifuddin, Hajiji dan Muhyiddin, malah keempat-empat mereka apabila digabungkan sekalipun!

Sekiranya Sanna Marin yang berusia 34 tahun boleh menjadi Perdana Menteri Finland, Jacinda Ardern menjadi Perdana Menteri New Zealand pada usia 37 tahun, Alexandria Ocasio-Cortex adalah wanita termuda yang terpilih ke Kongres Amerika Syarikat pada usia 29 tahun, Sebastian Kurz yang diundi sebagai Canselor Austria pada usia 31 tahun, Luigi DiMaio sebagai Timbalan Perdana Menteri Itali pada usia 31 tahun dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada usia 25 tahun, saya tidak nampak apa-apa sebab mengapa Veveonah Mosibin yang berusia 18 tahun tidak dapat mengetuai pasukan tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri untuk menangani masalah jurang digital di Sabah.

Sudah tiba masanya golongan millennial (mereka yang dilahirkan di antara awal 1980-an dan pertengahan 1990-an hingga awal 2000) diperkasakan dengan lebih banyak kepercayaan, tanggungjawab dan kuasa memandangkan 54 peratus rakyat Malaysia berusia di bawah 30 tahun dan sekitar 70% rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun.

Jadikan era ini sebagai era millenial — bermula dengan Veveonah Mosibin!

Kabinet Muhyiddin tidak mempunyai suara untuk golongan millennial di Malaysia, tidak ada seorang pun Menteri yang berusia di bawah 40 tahun.

Terdapat empat orang Menteri dalam Kabinet Muhyiddin yang berumur di bawah 50 tahun, masing-masing berusia 43, 44, 46 dan 47 tahun — suatu perbandingan yang buruk dengan Kabinet Pakatan Harapan, yang bermula dengan menteri yang berusia 25 tahun, 35 tahun dan lima orang Menteri yang berumur di bawah 50 tahun.

Malah, Pakatan Harapan dengan Perdana Menteri yang berusia 93 tahun mempunyai purata umur Kabinet 55.7 tahun, lebih muda berbanding Kabinet 32 orang Muhyiddin yang mencatatkan usia purata 57.5 tahun!

Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg — yang akan mencecah usia 18 tahun pada Januari depan — memulakan aktivisme pada usia awal remaja dan telah menjadi sebutan dalam rumah tangga di seluruh dunia, memberi inspirasi kepada para belia untuk mengambil bahagian dalam aktivisme dalam talian untuk tujuan alam sekitar dan mencabar pemimpin politik mengenai perubahan iklim .

Beliau telah menerima pelbagai penghargaan dan penghargaan untuk aktivisme, termasuk dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan 2019.

Sekiranya Veveonah dapat menjadi Greta Thungberg Malaysia untuk memberi inspirasi kepada para belia di Malaysia dan dunia untuk menghapuskan kemiskinan digital, perkara ini akan adalah untuk beliau dan juga negara.

Bukan hanya Saifuddin, Radzi, Hajiji dan Muhyiddin yang harus memberikan setiap sokongan kepadanya, beliau juga berhak mendapat sokongan penuh daripada seluruh negara. 

Tetapi, yang utama sekali. 

Izinkan saya bertanya kepada Saifuddin, Radzi, Hajiji dan Muhyiddin sama ada mereka akan menyokong idea memindahkan peruntukan RM81.5 juta yang diperuntukkan untuk mengembalikan semula unit propaganda JASA dalam Belanjawan 2021 untuk membiayai pasukan tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri yang dipengerusikan oleh Veveonah untuk mengatasi masalah kemiskinan digital di Sabah? — Roketkini.com