Berita, Rencana

Bantahan Belanjawan 2021 dihargai, bukti perjuangan Malaysia Baharu akan tetap diteruskan

Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Jumaat, 27 November 2020:

Saya hargai bantahan terhadap undian Belanjawan 2021 di Parlimen semalam kerana ini membuktikan bahawa perjuangan untuk sebuah Malaysia Baharu akan tetap diteruskan

Saya hargai bantahan terhadap undi Belanjawan 2021 di Parlimen semalam kerana ini membuktikan bahawa perjuangan untuk sebuah Malaysia Baharu akan tetap diteruskan. Saya memandang bantahan ini dari sudut yang positif.

Malah, mantan setiausaha politik saya sendiri, Dyana Sofea membantah keputusan ini, bersama-sama dengan pelbagai pemimpin DAP yang lain, termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka untuk Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk Subang Jaya, Michelle Ng.

Namun, terdapat beberapa salah faham. Pertamanya, yang mengatakan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang — selain daripada beberapa orang yang berdiri semasa meminta untuk berlakunya belah bahagi — telah tewas dengan desakan dan mengundi untuk menyokong Belanjawan 2021.

Perkara ini tidak benar, memandangkan Ahli Parlimen Pembangkang, termasuklah mereka yang berdiri memohon supaya belah bahagi dilakukan, kesemuanya telah mengundi membantah Belanjawan 2021 — tetapi undian ini dilakukan melalui suatu undian suara yang lantang mengatakan tidak kepada Belanjawan ini, dan bukannya melalui belah bahagi, di mana setiap Ahli Parlimen mencatatkan undian mereka sebagai bersetuju atau tidak.

Dalam kenyataan media saya pada 21 November 2020, saya telah katakan:

“Ahli-ahli Parlimen mempunyai dua pilihan apabila Belanjawan 2021 ini perlu diundi untuk bacaan kali kedua pada hari Khamis 26 November 2020 ini:

“Pertama, untuk memaksa berlakunya pertarungan pada hari Khamis ini, sama ada untuk menerima atau pun menolak Belanjawan 2021 ini; atau kedua, untuk mencuba semua pilihan yang ada melalui proses parlimen, dengan mencadangkan pindaan dalam peringkat jawatankuasa perbahasan Belanjawan 2021 terhadap peruntukan-peruntukan yang tidak boleh diterima, seperti RM85.5 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagai badan pelaksana propaganda negatif kerajaan, yang kemudiannya akan disusuli dengan undian untuk bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 pada 15 Disember 2020.”

Memandangkan Majlis Presiden Pakatan Harapan telah memutuskan pada 25 November 2020 secara sepakat untuk menolak Belanjawan 2021 dengan memanggil untuk mengadakan belah bahagi dan menolak Belanjawan ini dalam undian tersebut, dan maklumat ini telah disampaikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Shafie Apdal, dan kedua-dua mereka memberikan jaminan sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen Warisan dan Pejuang, ke semua Ahli-ahli Parlimen Pembangkang daripada DAP, PKR, dan Amanah bersedia untuk menyokong seruan untuk mengadakan belah bahagi dan pengundian menolak Belanjawan 2021 ini semalam.

Saya tidak mengetahui langsung mengenai keputusan saat akhir oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, yang memutuskan untuk tidak memanggil belah bahagi walaupun saya boleh meneka sebabnya. Pertamanya, nasihat daripada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kepada Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 ini, dan keduanya, ucapan penggulungan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, di mana beliau mengumumkan beberapa pemberian tambahan dalam Belanjawan ini yang belum melepasi perbahasan di Peringkat Jawatankuasa sebelum Belanjawan 2021 ini dibacakan dan diundi buat kali ketiga pada 15 Disember.

Selain itu, jelas bahawa tidak ada cukup bilangan untuk Belanjawan 2021 ini dikalahkan memandangkan Ahli-ahli Parlimen UMNO telah menarik semula bantahan mereka dan kini bersedia untuk memberikan sokongan penuh kepada Belanjawan 2021 ini — tetapi perkara ini tidak pernah menjadi faktor kepada Ahli-ahli Parlimen DAP dan PH untuk memutuskan sama ada untuk memanggil belah bahagi atau tidak dalam undian ini.

Memandangkan Yang di Pertuan Agong telah menasihati Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 ini memandangkan situasi semasa wabak Covid-19 dalam negara kita, menjadi lebih penting kepada Ahli-ahli Parlimen Pembangkang untuk memberikan Menteri Kewangan lebih banyak masa sehingga Bacaan Ketiga RUU Perbekalan ini pada 15 Disember ini, untuk membuat perubahan dan pindaan yang berpatutan untuk menjadikan Belanjawan 2021 ini satu “Belanjawan Perpaduan” yang menyatupadukan semua rakyat Malaysia untuk mengharungi wabak Covid-19 ini. Atau, adakah beliau akan terus kekal untuk berdegil dan bersikap anti-perpaduan dengan tidak meminda Belanjawan ini?

Menteri Kewangan telah melibatkan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang sebelum pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November, tetapi beliau tidak ada berunding dengan pihak Pembangkang selepas pembentangan Belanjawan ini. Adakah beliau akan berunding dan melibatkan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang sebelum Bacaan Ketiga RUU Perbekalan ini pada 15 Disember kelak?

Selepas persidangan Parlimen semalam, saya telah bercakap dengan Anwar mengenai hal untuk memanggil mesyuarat Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat, untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Integriti yang perlu mempunyai terma rujukan yang meluas untuk meningkatkan integriti awam di Malaysia untuk negara kita menjadi di antara 30 negara yang paling berintegriti di dunia.

Tetapi, tugas pertama Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Integriti perlulah untuk melihat dan mengkaji laporan Barometer Rasuah Global untuk Asia 2020, yang diterbitkan oleh Transparency International dua hari lepas, yang melaporkan lebih ramai rakyat Malaysia menganggap Ahli Parlimen mereka korup berbanding dengan rakyat-rakyat di tujuh negara Asia lain — iaitu, Bangladesh, Taiwan, Myanmar, Filipina, China, Kemboja, dan Vietnam — di mana 36% rakyat Malaysia yang ditinjau merasakan Ahli Parlimen mereka korup.

Jawatankuasa ini juga perlu melihat kepada aspek lain laporan ini, di mana 72% rakyat Malaysia merasakan yang rasuah dalam kerajaan adalah satu masalah yang besar dan 39% rakyat Malaysia percaya terdapat peningkatan dalam kes rasuah.

Memandangkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 yang diterbitkan oleh Transparency International (TI) akan diterbitkan dalam masa dua bulan lagi, yang dijangkakan akan melihat kemunduran dalam kedua-dua kedudukan dan markah yang diperolehi oleh negara kita, membantutkan segala usaha baik 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan dalam melawan rasuah dan menambahbaik integriti awam, Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Integriti perlu mengkaji perkara ini.

Akibat penularan wabak Covid-19, untuk tempoh 19 hari persidangan Parlimen pada bulan November dan Disember ini, persidangan Parlimen hanya berlangsung daripada jam 10 pagi sehingga 2 petang, pengurangan drastik persidangan Parlimen daripada kebiasaannya selama enam jam sebelum ini kepada hanya 4 jam sehari.

Perkara ini telah menjejaskan peranan Ahli Parlimen dalam meneliti dan menyemak imbang tindakan dan polisi kerajaan, dan mengancam fungsi doktrin pemisahan kuasa di antara pihak eksekutif, legislatif, dan kehakiman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Untuk 12 hari persidangan yang akan datang, bermula daripada 30 November sehingga 17 Disember 2020, Parlimen perlu kembali bersidangan seperti sebelum ini, daripada jam 10 pagi sehingga 1 tengahari, sebelum bersambung semula pada jam 3 petang sehingga jam 6 petang, dengan rehat di antara jam 1 tengahari sehingga 3 petang di mana proses sanitasi boleh dijalankan. – Roketkini.com