Berita, Rencana

DAP pantas bantu mangsa banjir

Oleh Ghafar NS

Awal tahun 2021 kita diberitakan dengan beberapa kawasan di dalam negara yang mengalami banjir, seolah-olah Covid-19 bukanlah bencana terakhir 2020 yang terpaksa kita tempuhi.

Dalam memastikan masyarakat yang terjejas akibat banjir ini dapat meneruskan hari-hari mereka, meringankan beban setelah kemusnahan harta benda dan memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19, wakil-wakil rakyat DAP pantas menghulur bantuan sewajarnya.

Sejak 2 Januari 2021, banyak kawasan di Kluang telah ditenggelami air. Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi pantas menggerakkan pasukannya dan sukarelawan untuk memastikan mangsa banjir segera dibantu.

Beliau sendiri turun memantau persiapan dan keadaan di beberapa pusat pemindahan sementara yang menempatkan mangsa-mangsa banjir bagi memastikan keadaan terkawal. Shu Qi juga turut membantu mengedarkan sumbangan barangan sanitasi, makanan kering dan sama-sama mengagihkan makanan kepada mangsa-mangsa banjir.

Hujan berterusan pada 2 Januari turut menyebabkan banjir di beberapa kawasan di Kulai. Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching bersama pasukannya, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kulai turun memantau dan menyampaikan sumbangan yang terkumpul dari sumbangan orang ramai seperti pelitup muka, pembasmi kuman serta makanan kering kepada mangsa banjir.

Senator DAP yang juga merupakan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong turut bersama dengan Nie Ching memantau kawasan perumahan yang sudah surut banjirnya.

Adun Ketari, Young Syefura Othman juga segera turun memantau dan membantu mangsa-mangsa banjir di kawasannya di pusat pemindahan sementara yang telah disediakan. Syefura dan pasukannya telah mengedarkan tuala kepada mereka yang berada di pusat pemindahan tersebut bagi memastikan kebersihan mereka dan keluarga terjamin.

Di Yong Peng, Batu Pahat, Adun kawasan tersebut iaitu Chew Peck Choo, turut memantau dan meluangkan masa bersama-sama mangsa banjir di pusat pemindahan sementara kawasannya.

Sumbangan makanan seperti pizza dan KFC disampaikan kepada mangsa serta anggota keselamatan yang bertugas. Selain itu, tilam dan bantal turut disumbangkan kepada beberapa orang warga emas yang berada di pusat tersebut agar mereka lebih selesa.

Bencana alam seperti banjir ini adalah hal yang tidak terduga. Dalam mendepani hal-hal yang tidak terduga ini, masyarakat memerlukan pemimpin atau wakil rakyat yang pantas menghulur bantuan dan bersama-sama dengan rakyat yang terkesan kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Semoga mangsa-mangsa banjir di seluruh negara terus kuat dan cekal menghadapi musibah ini. — Roketkini.com