Berita, Rencana

PN sudah terbelah, berpura-pura pula retak

Nor Miswary Ramli

(Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Segambut)

Semalam Setiausaha Agung Barisan Nasional yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dipecat serta-merta daripada jawatannya selepas Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid membuat keputusan tersebut selepas dikatakan mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua UMNO bahagian.

Pertemuan tersebut dilaporkan bagi mendapatkan penjelasan berhubung usul UMNO bahagian yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15. Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan didakwa oleh akar umni UMNO seolah- olah sering membawa suara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam BN.

Lebih menarik, MCA – parti komponen Barisan Nasional (BN) – pun terkejut dengan pemecatan Annuar Musa dan hanya mengetahui mengenai pemecatan tersebut hanya melalui laporan media. Adakah mereka telah dikeluarkan daripada group Whatsapp BN, masih tidak dapat dipastikan pula.

Tidak cukup dengan hanya membuatkan MCA kelihatan keliru dan bertambah celaru dengan apa yang berlaku kepada UMNO dan BN, muncul pula seramai 143 daripada 191 Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara yang dilaporkan enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang. Bukan sahaja Barisan Nasional yang cuba diheret dibuang ke gaung, UMNO mahu meroboh Perikatan Nasional (PN) juga.

Usul tersebut seolah-olah memberi bayangan kepada Ahli Parlimen UMNO supaya menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan PN yang dipimpin oleh ketua parti Bersatu yang pernah melakukan kerja khianat dari tangga hotel di Petaling Jaya. Jika kita melihat UMNO seolah-olah cukup dengan apa yang mereka lakukan, kita sebenarnya terpedaya. UMNO sebenarnya jauh daripada merasa puas. Apa yang mereka teguk masih belum menghilangkan rasa haus.

Kini tiba giliran PAS menerima kesan yang serupa. Selain Bersatu, UMNO Terengganu juga sebulat suara meluluskan usul menolak kerjasama dengan PAS yang kemudiannya diikuti oleh UMNO Kelantan. Panjang kata, orang UMNO pantai Timur yang tahu PAS adalah rakan kongsi mereka dalam Muafakat Nasional (MN) dan Kerajaan PN pun tidak percayakan PAS – apatah lagi kita!

UMNO menyangka mereka kini mempunyai bargain power berdepan Perdana Menteri – ketua parti Bersatu. Berahi yang tak berkesudahan ini timbul semenjak UMNO berjaya menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu, orang nombor dua Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mesej yang dihantar oleh UMNO Perak itu terus sampai ke depan pintu Putrajaya.

Malah dakwaan terdapatnya usaha daripada pihak parti Bersatu untuk membeli ahli-ahli UMNO menambah garam halus ke luka bernanah UMNO. Presiden UMNO Ahmad Zahid pula langsung tidak menolak dakwaan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tersebut malah berpendapat hasil kajian yang dinyatakan Ketua Pemudanya itu pasti ada asasnya.

Semua malapetaka politik yang disenaraikan ini petanda kerajaan PN pimpinan Presiden Bersatu telah hampir tamat tempohnya. Rasa meluat akar umbi UMNO telah naik sampai ke kepala. Menuntut diadakan Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 dengan segera petanda UMNO makin terdesak dan percaya dengan sifir mereka sendiri yang melalui PRU15, mereka akan berkuasa semula seperti sebelum Mei 2018. Bersatu dan PAS hanya menjadi longgokan sampah pembinaan yang menghalang laluan dan menyemak mata memandang. Biarpun UMNO bersama dengan kedua-dua parti ini dalam PN membentuk Kerajaan hari ini, namun sebenarnya mereka mahu bersendirian.

PN hari ini tidak selemah seperti mula-mula Tan Sri Muhyiddin memeluk Azmin Ali sambil menyebut yang beliau kini Perdana Menteri – betul, PN tidak selemah itu hari ini. PN jauh lebih lemah pada hari ini berbanding hari tersebut. PN bukan sahaja retak menanti belah, mereka sebenarnya telah terbelah terpecah-pecah namun hanya berpura-rupa mengaku retak. — Roketkini.com