Berita, Rencana

PAC akan terus kerja keras, mainkan peranan demi negara

Oleh B. Suffian

Meskipun tidak dapat menggunakan tahun 2020 sepenuhnya ekoran perubahan kerajaan pada Februari lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen Malaysia (PAC) berjaya menyelesaikan semua kerja-kerja yang tertangguh.

Selepas penstrukturan semula PAC pada 3 November lepas, jawatankuasa itu mengadakan mesyuarat secara harian pada kedua-dua sesi pagi dan tengah hari.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, terima kasih kepada komitmen ahli-ahli, sekretariat dan wakil-wakil tetap (ex-officio), jawatankuasa itu berjaya mengejar ‘masa-masa yang hilang’ tersebut.

“Semangat berpasukan oleh ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan telah menjadikannya kenyataan. Kami telah menyelesaikan semua kerja-kerja yang tertangguh.

“Kami akan terus bekerja keras dan memainkan peranan demi negara,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini yang dikeluarkan bersama Kad Laporan PAC Parlimen 2020.

Menurut kad laporan tersebut, pada 2020, sebanyak 52 mesyuarat PAC diadakan, pembentangan laporan penuh PAC (lima) dan pembentangan laporan maklum balas PAC (tiga).

Sementara itu, mesyuarat prosiding diadakan sebanyak tujuh kali, mesyuarat ‘house keeping’ (penyediaan laporan) sebanyak 12 kali, mesyuarat verifikasi (sembilan), taklimat (17), mesyuarat pembentangan maklum balas (lima) dan lawatan tapak (dua).

Kad laporan itu menambah, sebanyak lima pembentangan laporan penuh telah disiapkan iaitu:

  • Pengurusan Projek Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis Kementerian Pendidikan
  • Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) Kementerian Pengangkutan
  • Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kementerian Wilayah
  • Aktiviti Kawalan Terhadap Pekerja Asing Kementerian Dalam Negeri/ Kementerian Sumber Manusia
  • Pengurusan Educational Malaysia Global Services (EMGS) Kementerian Pendidikan

Tambah kad laporan tersebut, tiga pembentangan laporan maklum balas disiapkan iaitu:

  • Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Berjumlah RM19.4 bilion Kementerian Kewangan
  • Kerugian Pelaburan Khazanah Nasional Kementerian Kewangan
  • Pembangunan Air Mobility (Kereta Terbang) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. — Roketkini.com