Oleh B. Suffian
Kerajaan Negeri Johor dicadang memberi keizinan kepada operasi pasar pagi dan pasar tani di negeri itu, berdasarkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Wakil-wakil rakyat DAP Johor dalam satu kenyataan bersama berkata, pihak berkuasa tempat (PBT) dicadang agar diberi kuasa menjalankan pelaksanaan bersesuaian dengan tempat masing-masing.
“Sekiranya kerajaan negeri boleh mengizinkan operasi pasar tani kekal dan pasar persendirian dalam bangunan, tiada sebab munasabah mengapa tidak boleh mengizinkan operasi pasar pagi, pasar tani dan pasar malam tertakluk kepada syarat PBT masing-masing.
“Dari segi operasi, pasar tersebut adalah perkhidmatan dan penjualan barang asas. Malah, pasar yang terdiri di tapak lapang mempunyai pengalihan udara jauh lebih baik berbanding pasar dalam bangunan,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Kenyataan itu memberitahu, wakil-wakil rakyat tersebut berasa hairan dengan keputusan mesyuarat semalam antara EXCO Kerajaan Tempatan bersama semua datuk bandar dan yang dipertua PBT di Johor.
Katanya, walaupun MKN mengizinkan operasi pasar harian, pasar tani dan pasar borong, Kerajaan Negeri Johor pula bertindak sebaliknya dan tidak mengizinkan operasi pasar tersebut.
“Kami memahami sepenuhnya betapa mencabar keadaan penularan wabak Covid-19 dalam negeri kita pada masa kini.
“Walau bagaimanapun, PBT dan wakil rakyat seharusnya diberi kuasa budi bicara di kawasan masing-masing, untuk menentukan SOP setempat selaras dengan garis panduan MKN,” katanya.
Menurut kenyataan itu, setiap kawasan mempunyai situasi yang berbeza, dan PBT serta wakil rakyat setempat boleh mengadaptasikan SOP berdasarkan situasi dan keperluan di tempat masing-masing.
Kaedah ini, tambahnya, bukan sahaja membolehkan kerajaan mengatasi isu penularan Covid-19 secara lebih dekat bersesuaian dengan keadaan setempat malah mengizinkan kelonggaran untuk menjaga survival ekonomi rakyat di setiap kawasan.
“Kalau ada pasar yang terletak di lokasi yang sukar dikawal pergerakan orang ramai ataupun di mana kes positif Covid-19 kawasan tersebut melonjak, PBT mempunyai kuasa untuk menutupkan pasar pagi tersebut dengan serta merta,” katanya.
Kenyataan itu turut menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat dalam mesyuarat semalam.
“Kerajaan negeri juga perlu menyediakan dana untuk membantu para penjaja kecil yang berniaga di pasar pagi dan pasar tani sekiranya mereka tidak dibenarkan untuk beroperasi,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh 12 wakil rakyat DAP di negeri tersebut merangkumi ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri (Adun) iaitu Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, Tan Chen Choon (Adun Jementah), Sheikh Umar Bagharib Ali (Adun Paloh) dan Liow Cai Tung (Adun Johor Jaya).
Selain itu, wakil rakyat tersebut juga termasuk Dr. Ramakrishnan A/L Suppiah (Adun Bekok), Gan Peck Cheng (Adun Penggaram), Andrew Chen Kah Eng (Adun Stulang), Chew Peck Choo (Adun Yong Peng), Ee Chin Li (Adun Tangkak), Ng Yak Howe (Adun Bentayan) dan Alan Tee Boon Tsong (Adun Senai). – Roketkini.com