Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Annuar Musa wajar contohi keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor – Lip Eng

Oleh Ghafar NS

Pakej ‘Kita Selangor’ yang diperkenalkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membuktikan Kerajaan Negeri Selangor adalah kerajaan yang mendengar rintihan dan keluhan rakyat.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, keprihatinan rakyat yang dipamerkan oleh kerajaan negeri wajar dicontohi oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bagi membantu rakyat di Kuala Lumpur dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19.

“Saya percaya Menteri Wilayah Persekutuan mempunyai kuasa dan kapasiti untuk melancarkan program yang lebih kurang sifatnya,” tambah Lip Eng dalam kenyataannya hari ini.

Antara cadangan daripada Ahli Parlimen Kepong tersebut kepada Annuar:

1) Menggunakan ratusan juta ringgit yang disimpan di dalam deposit tetap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyediakan keperluan asas terutama kepada warga emas, golongan kurang berkemampuan, gelandangan, dan tidak dilupakan, kepada barisan petugas hadapan.

2) Menyarankan Annuar untuk membeli lima juta dos vaksin Covid-19 khas untuk warga di ibu kota Kuala Lumpur, sama seperti perancangan Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut Lip Eng, pembelian dos vaksin ini pasti dapat membantu mengurangkan beban Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Persekutuan dalam membendung penyebaran wabak Covid-19.

Lip Eng turut mencadangkan, sekiranya lima juta dos vaksin itu angka yang sedikit mustahil bagi Menteri Wilayah Persekutuan, sekurang-kurangnya 50 ribu dos vaksin dapat dibeli dan didahulukan kepada para petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur.

“Negeri ini adalah antara negeri yang tinggi kes Covid-19, justeru perlindungan berbentuk vaksin ini wajar diberikan dengan kadar segera,” katanya.

Tegasnya lagi, perkara utama yang perlu difokuskan sekarang bukanlah pembangunan atau projek baharu tetapi kebajikan rakyat yang terabai akibat pandemik Covid-19 dan juga perlindungan dari wabak itu. -Roketkini.com