Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kerajaan PN diseru tubuh Jawatankuasa Bipartisan Kuala Lumpur 2024

Oleh Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan Kuala Lumpur

Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Ibu kota negara kita ini akan meraikan ulang tahunnya yang ke-50 pada tahun 2024.

Kerajaan Persekutuan berkali-kali mengeluarkan perancangan dan impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah Bandaraya Kelas Dunia (World Class City) yang mempunyai perancangan yang teratur mengikut piawaian antarabangsa.

Walau bagaimanapun, impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah Bandar Raya Bertaraf Dunia telah gagal kerana mantan menteri daripada Barisan Nasional (BN), khususnya YB Datuk Seri Utama Tengku Adnan enggan melaksanakan dan mewartakan Pelan Bandaraya KL yang digubal oleh pakar Perancangan Bandar.

Sebaliknya Tengku Adnan telah meluluskan banyak projek pembangunan yang mempunyai kepadatan tinggi di tapak yang tidak sesuai di Kuala Lumpur sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan. Ini telah menghuru-harakan segala perancangan yang diatur untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah Bandaraya Bertaraf Dunia. 

Memandangkan Kuala Lumpur akan menyambut ulang tahunnya yang ke-50 pada tahun 2024, kami, Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan Kuala Lumpur ingin menyeru Menteri Wilayah Persekutuan YB Tan Sri Annuar Musa untuk menetapkan dengan jelas halatuju pembangunan dan pentadbiran di Kuala Lumpur.

Beliau juga digesa supaya mewujudkan kerjasama di antara agensi-agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan Kuala Lumpur dengan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan untuk bersama mentadbir Kuala Lumpur.

Ini kerana kami telah dipilih secara sah oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu dan mempunyai keabsahan untuk mewakili suara rakyat Kuala Lumpur serta mengangkat masalah yang dihadapi di kawasan Parlimen kami kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahupun Kerajaan Persekutuan.

Hari ini, kita berada dalam zaman yang penuh cabaran dan dugaan. Bandaraya Kuala Lumpur amat memerlukan pentadbiran yang baik serta visi yang segar dan baharu.

Justeru, kami menyeru YB Menteri Wilayah Persekutuan untuk menubuhkan “Jawatankuasa Bipartisan Kuala Lumpur 2024”, serta menggubal dasar dan perancangan bermula dari sekarang sehingga tahun 2024 dan mentadbir Kuala Lumpur bersama wakil rakyat Kuala Lumpur.

1) Kuala Lumpur Harus Menjadi Contoh Kepada Bandar-Bandar Lain di Malaysia

Terdapat ramai cendekiawan dan para profesional yang bermastautin dan bekerja di Kuala Lumpur. Kita harus bekerjasama dengan mereka untuk lebih memahami cabaran yang sedang dan yang akan dihadapi oleh Kuala Lumpur dan negara kita, khususnya:

● Menambahbaik perancangan bandar, dasar perumahan dan sistem pengangkutan awam;

● Mengatasi masalah alam sekitar akibat perubahan iklim; dan

● Mengatasi kemelesetan ekonomi serta mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan pasca pandemik Covid-19.

2) Agenda Jangka Pendek Covid-19 dan Pasca Covid-19

Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL harus memainkan peranan yang pro-aktif untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat di Kuala Lumpur. Ini termasuklah dengan melaksanakan program saringan berskala besar (mass testing) dan vaksinasi yang membolehkan kehidupan rakyat kembali normal secepat mungkin.

DBKL boleh mengikuti jejak langkah Kerajaan Negeri Selangor dengan mengusahakan pembelian 1 juta vaksin untuk warga Kuala Lumpur, bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi penduduk.

Kerajaan boleh menggunakan Jawatankuasa Bipartisan ini untuk menjalankan sesi libat urus bersama penduduk dan pemain industri dalam sektor perniagaan bagi merangka dan mengatasi masalah yang dihadapi oleh warga kota Kuala Lumpur.

3) DBKL Dijadikan “Perkhidmatan Terbuka” Supaya Pegawai Yang Berpengalaman di Agensi Kerajaan Lain Boleh Dipindahkan Untuk Berkhidmat di DBKL

Kami menyeru kepada Kerajaan PN untuk menukar perkhidmatan awam DBKL daripada “perkhidmatan tertutup” kepada “perkhidmatan terbuka”. Ini bermaksud semua pegawai DBKL akan tertakluk di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan boleh memindahkan pegawai yang lebih berpengalaman dan cemerlang di agensi Kerajaan lain untuk diserap masuk ke dalam DBKL, manakala pegawai DBKL akan mempunyai peluang untuk berkhidmat di agensi Kerajaan lain juga.

Pembukaan perkhidmatan DBKL pastinya akan menyumbang kepada tadbir urus yang bersih, berintegriti dan efisien.

4) Pendemokrasian di Kuala Lumpur 

Belanjawan DBKL adalah yang terbesar di antara semua bandaraya di Malaysia malah lebih besar daripada sesetengah Kerajaan negeri. 

Selain itu, Kuala Lumpur mempunyai lebih ramai penduduk berbanding dengan Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu. 

Justeru, Kerajaan PN harus mengkaji langkah-langkah untuk menjalankan pendemokrasian bermula di Kuala Lumpur kerana terdapat banyak bandaraya bertaraf dunia di negara-negara lain yang melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan bagi penduduk memilih Datuk Bandar dan ahli majlis bandaraya. Pilihanraya kerajaan tempatan juga diadakan di bandaraya di rantau ASEAN seperti di Bangkok, Manila dan Jakarta. 

Kuala Lumpur merupakan bandaraya yang paling sesuai untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan kerana ia merupakan ibu kota yang mempunyai belanjawan dan populasi yang tinggi. Kuala Lumpur juga tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri. Kami menyeru supaya Kerajaan PN melaksanakan Pilihanraya rintis Kerajaan Tempatan di Kuala Lumpur (“Pilot Project“) supaya penambahbaikan dan model yang paling sesuai boleh digunapakai untuk perlaksanaan di PBT yang lain.

Sekiranya Pilihanraya Kerajaan Tempatan dapat diwujudkan, maka sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menghapuskan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan tujuan untuk mengelakkan pertindihan bidang kuasa dalam pentadbiran di Kuala Lumpur.

Tan Kok Wai

Ahli Parlimen Cheras

Fong Kui Lun

Ahli Parlimen Bukit Bintang

Teresa Kok

Ahli Parlimen Seputeh

Dr Tan Yee Kew

Ahli Parlimen Wangsa Maju

Lim Lip Eng

Ahli Parlimen Kepong

Fahmi Fadzil

Ahli Parlimen Lembah Pantai

Nik Nazmi Nik Ahmad

Ahli Parlimen Setiawangsa

P. Prabakaran

Ahli Parlimen Batu

Hannah Yeoh

Ahli Parlimen Segambut