Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Gagal tangani krisis, Menteri harus letak jawatan – Guan Eng

Berikut merupakan kenyataan akhbar Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bertarikh 3 Februari 2021.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengecewakan rakyat Malaysia kerana gagal mengumumkan sebarang pakej kewangan yang konkrit dan bermakna untuk menyelamatkan ekonomi berikutan pelanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) dari 4hb kepada 18hb Februari. Walaupun sambutan Tahun Baru Cina akan disambut sunyi dan sangat terkesan, apa yang lebih penting adalah ketiadaan komitmen secara bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap kesihatan, pelancongan, kebajikan, sumber manusia dan ekonomi harus meletakkan jawatan kerana gagal menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan, terutama industri pelancongan yang parah, dan kegagalan yang jelas dalam menguruskan krisis kesihatan awam COVID-19. Pada 2hb Februari 2021, Malaysia mencatatkan 222,628 kes, 47,847 kes aktif dan 791 kematian. Kerajaan PN telah berjaya menjadikan Malaysia menjadi negara COVID-19 ASEAN terburuk dari segi per kapita.


Lonjakan tinggi jangkitan COVID-19 ini adalah bukti jelas terhadap kegagalan kerajaan PN yang tidak dipilih untuk mengurus, mengawal dan membendung wabak global ini. Keengganan PN untuk melaksanakan sepenuhnya 3T yang melibatkan saringan, pengesanan dan rawatan, termasuk semua kontak rapat pesakit positif COVID-19, tidak dapat dimaafkan.

Adakah dengan menggantung Parlimen memberi peluang kepada Muhyiddin untuk memungkiri janjinya sehingga krisis kesihatan COVID-19 berakhir?


1) Pelanjutan automatik moratorium pinjaman bank (kecuali Kumpulan 20 Teratas)

2) Menaikkan bayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur, pengeluaran KWSP sendiri

3) Pelepasan sewa atau subsidi untuk kompleks membeli-belah

4) Bantuan kewangan langsung kepada kumpulan B40, pekerja dan perniagaan


PN masih tidak sedar dan tidak melakukan apa-apa untuk mengatasi situasi tenat industri pelancongan kita yang kehilangan pendapatan RM100 bilion yang mengejutkan tahun lalu. Pengurus Red Rock Hotel di Pulau Pinang, Jeffrey Lim telah memegang sepanduk dan melaungkan “tiga ringgit, tiga ringgit”, dengan terdesak bagi menjual nasi lemak hotelnya di tepi jalan. Bernama melaporkan Lim mengatakan, “Kami harus bergantung pada hotel untuk bertahan hidup … tidak ada apa-apa bantuan dari kerajaan untuk industri hotel.” Apakah kerajaan tidak berasa malu?


Ini bukan satu-satunya bukti kerajaan PN dan Menteri Kabinet tidak peduli dan tidak cekap. Malaysia kehilangan pelaburan langsung asing (FDI) pada kadar yang lebih buruk daripada ASEAN dan secara global pada tahun 2020, menurut Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD). FDI sebenar Malaysia tahun lalu turun 68%, berbanding penguncupan purata rantau Asean 31% dan penguncupan purata global 42%.

Pada ketika ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan dan perniagaan bukan kerana kesalahan mereka sendiri, Menteri yang gagal melakukan kerja mereka harus diganti. Sama seperti rakyat Malaysia biasa yang didakwa di mahkamah kerana melanggar SOP untuk PKP, seharusnya tidak ada amalan dua darjat terhadap Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak boleh dikecualikan daripada didakwa di mahkamah.