Rencana

Mampukah DAP tawar alternatif kepada anak muda?

Oleh Fakhrurrazi Rashid
(Koordinator Program Research for Social Advancement (REFSA)
)

Covid-19 telah memberi satu pengalaman yang mendebarkan kepada rakyat Malaysia. Pertambahan kes postifi Covid-19 yang kian telah menimbulkan pelbagai persoalan sejauh mana Malaysia mampu mengharungi krisis dalam tempoh yang panjang. Hari ini, semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang, malah anak kecil di peringkat sekolah, turut merasai betapa  terkesannya berada dalam era Norma Baharu.  

Di tengah-tengah krisis ekonomi dan kesihatan yang kritikal, rakyat Malaysia terpaksa mengharungi krisis politik. Percaturan kuasa untuk menjadi kerajaan seawal tahun 2020 telah menghasilkan sebuah kerajaan minoriti Perikatan Nasional (PN) yang masih tidak stabil sehingga hari ini. Hari demi hari, kerajaan PN menonjolkan kepimpinan yang rapuh, tidak cekap menguruskan krisis ekonomi dan kesihatan, sehingga kes penularan wabak kian bertambah.  

Krisis kepimpinan ini telah menimbulkan pelbagai persoalan: adakah Malaysia mampu keluar daripada kemelut politik sebelum jatuh ke lembah kegagalan? Apakah perancangan dan model terbaik bagi membina kepimpinan dan kerajaan yang berdaya tahan dan mempedulikan nasib rakyat pasca pandemik? 

Persoalan ini sering berlegar dalam minda dan sanubari anak muda Malaysia. Mereka mula mencari platform untuk menjawab persoalan ini. Penyertaan menjadi sebahagian daripada parti politik merupakan platform yang kian popular dalam kalangan anak muda hari ini. Malah, parti politik mula mengambil peluang ini mempromosikan kekuatan parti untuk menarik anak muda menyertai mereka. 

DAP dan semangat membincangkan dasar 

Dalam fasa mengenali parti politik, salah satu parti yang menjadi tarikan dan perbahasan dalam kalangan anak muda ialah Parti Tindakan Demokratik (DAP). Sebagai orang luar yang memerhati DAP dari luar sekian lama, DAP merupakan sebuah parti yang sentiasa komited dalam memgetegahkan perbahasan idea dan dasar awam untuk menjawab cabaran yang bakal dihadapi negara dan rakyat secara konsisten sejak awal penubuhannya. 

Antara dasar yang telah dibincangkan awal oleh DAP ialah menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun. Usaha ini telah dicadangkan DAP kepada kerajaan sejak tahun 1971 di Dewan Rakyat sebelum berjaya dilaksanakan 48 tahun kemudian oleh kerajaan Pakatan Harapan. Menariknya, pindaan perlembagaan menurunkan  had umur mengundi ini telah mendapat sokongan ahli parlimen merentasi parti pada tahun 2019. 

Saya kagum akan sikap konsisten DAP dalam mengetegahkan dasar kesejahteraan rakyat yang tidak penuh luntur sehingga hari ini.  Budaya politik dasar telah menarik minat anak muda untuk menyertai DAP kerana ruang membincangkan isu-isu rakyat berdasarkan disiplin ekonomi, politik dan bidang yang lain begitu luas di dalam parti. 

Perbincangan dasar semakin rancak ketika pandemik. DAP tidak pernah lekang dalam mencadang dan mengkritik dasar kerajaan yang dilihat tidak mampu menjawab kebimbangan rakyat, khsusnya dalam aspek ekonomi, kesihatan dan tadbir urus negara.

Praktis perbahasan dasar yang ditonjolkan DAP inilah yang menjadi tarikan anak milenial yang terdedah dengan pelbagai maklumat, data dan fakta untuk mencari solusi terbaik menguruskan cabaran anak muda secara menyeluruh. Peralihan masa dan cabaran-cabaran baharu telah menyedarkan anak muda bahawa mereka perlukan sebuah dasar yang baik untuk memastikan masa depan mereka cerah, termasuk peluang ekonomi, ruang politik yang lebih demokratik dan persekitaran yang lebih kondusif. 

Selain itu, saya melihat DAP menawarkan model kepimpinan politik dengan meletakkan integriti dan kualiti sebagai penanda aras untuk memnetukan kejayaan politik mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Malaysia.

Dengan pengalaman hampir enam dekad dalam arena politik negara, perjalanan DAP tidak pernah suram mengharungi ranjau politik yang berliku. Daripada kalah teruk pada pilihan raya umum pada 2004 sehingga menjadi kerajaan pada 2018, ia telah membentuk model kepimpinan DAP yang tidak pernah gagal mempamerkan kualiti yang diimpikan rakyat.

Kombinasi pemimpin berpengalaman dan muda dalam DAP dilihat lebih ideal dan stabil untuk memastikan organisasi berfunsgi dengan baik. Kerjasama pemimpin lama dan baharu dalam DAP antara kekuatan utama yang membuatkan parti itu kekal relevan sehingga hari ini.

Pendekatan ini sebenarnya telah memberi nilai tambah dan memberi sokongan kepada pemimpin muda DAP dengan menawarkan kepimpinan yang berkualiti. Maka, tidak hairanlah anak muda Malaysia mula mengagumi ahli parlimen DAP  yang pernah menjadi anggota kabinet seperti Anthony Loke dan Hannah Yeoh yang mempamerkan rekod cemerlang selama berkhidmat dengan kerajaan persekutuan.  

Acuan yang pragmatik untuk anak muda

Secara umumnya, acuan parti DAP yang begitu serius mengetengahkan dasar-dasar awam dan model kepimpinan acuan generasi lama dan baharu, akan menjadi alternatif terbaik buat anak muda Malaysia yang dahagakan perubahan menyertai parti Roket ini. Meskipun saya memahami sikap skeptik anak muda terhadap parti politik masih lagi menebal, tetapi saya optimis bahawa DAP telah menawarkan sesuatu yang lebih realistik untuk menjawab segala persoalan politik dan ekonomi yang sering mengecewakan anak muda. 

Saya percaya, bahawa politik dasar yang dibawa oleh DAP dengan kombinasi lebih ramai ahli muda di dalam parti, akan menambahkan lagi citrawarna politik Malaysia dan membudayakan politik matang dengan mengetengahkan persoalan-persoalan dasar mengenai kesejahteraan ekonomi rakyat, pembangunan kenegaraan yang demokratik, dan kepedulian nasib semua lapisan masyarakat. 

Ini sekadar pandangan saya sebagai pemerhati politik negara. Keputusan penuh terletak di tangan anak muda, sama ada mahu menyertai parti politik untuk melakukan perubahan bersama atau sebaliknya. Tidak ada ruginya jika anak muda bergiat aktif dibawah payung parti politik, lebih-lebih lagi menyertai parti DAP yang sentiasa membuka pintu untuk mengetengahkan idea dan perjuangan anak muda. – Roketkini.com