Oleh Nor Miswary Ramli
(Setiausaha Politik kepada Hannah Yeoh)
Setahun berlalu dan Langkah Sheraton yang dimulakan oleh beberapa kerat pemimpin politik yang tamak kuasa telah berhasil menumbangkan sebuah Kerajaan yang absah, yang dipilih oleh rakyat dan peristiwa itu kini dikenang sebagai tragedi pengkhianatan paling kotor dalam sejarah politik moden Malaysia.
Ramai tentunya mempunyai pandangan sendiri apabila membahaskan kejadian politik yang membingungkan ini. Sebermula 23 Februari 2020 ketika pemimpin Pakatan Harapan baik yang menjadi backbenchers mahupun yang menjawat jawatan Menteri atau Timbalan Menteri ketika itu sibuk memenuhi jadual program yang ketat. Hannah Yeoh, mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan rombongan beliau termasuk saya sendiri waktu itu baharu sahaja pulang dari Sepanggar, Sabah selepas menjayakan satu program turun padang bersama rakyat.
Semua angin khabar melalui Whatsapp telah menjadi sumber paling dipercayai saat itu. Ramai yang begitu terganggu pada hujung minggu tersebut dan saya tidak terkecuali. Akhirnya apa yang terjadi telah pun terjadi. Sejarah yang tertulis pasti dirakam untuk dikenang oleh generasi akan datang. Namun hidup dalam kenangan jarang sekali akan membawa kebaikan, malah ia mungkin memburukkan lagi keadaan.
Walaupaun saya kecewa, berasa sangat marah dan mahu berdiam diri membatu – semuanya serentak dalam masa yang sama, kadang-kadang saya rasa kita juga perlu memanjat setinggi rasa syukur pada Tuhan. Saya sentiasa percaya bahawa Tuhan tidak membenarkan dan mengizinkan sesuatu malapetaka ini tanpa Dia mengetahui kita akan mampu menanggungnya dan tentu sekali berharap kita dapat belajar serta mengambil iktibar daripadanya.
Banyak yang boleh belajar dari Langkah Sheraton yang memeritkan ini. Kita mesti segera memahami dan cepat belajar daripadanya supaya pengkhianatan seperti ini tidak lagi berulang. Bak kata orang, terpatuk ular di lubang yang sama dua kali petanda yang kita tidak pernah belajar dari kesilapan lampau. Antara yang paling penting untuk kita segarkan semula adalah bagaimana kita atau sesebuah organisasi parti politik menentukan pemimpin yang mahu dipilih dan ditawarkan kepada rakyat untuk mewakili parti.
Keahlian parti mestilah disertai oleh mereka yang benar-benar memahami perjuangan parti. Bukan sekadar tangkap muat untuk memenuhkan kuota. Penerimaan kemasukan beramai-ramai ahli baharu ke dalam parti bukan untuk menutup mulut mereka yang memfitnah kita kekurangan ahli, baik untuk maksud kekurangan ahli dari bangsa tertentu.
Menyertai sebuah parti politik bukan sekadar kita mengisytiharkan pihak – ia lebih daripada itu. Ia adalah keputusan penting untuk menentukan sumbangan kita bagi mencorak masa depan negara. Maka, sambil kita mahu berbondong-bondong masyarakat menyertai kita dalam parti, kita juga harus bersedia untuk menyaring dan membuat keputusan jika dirasakan mereka mempunyai apa-apa agenda jahat tersembunyi di masa hadapan.
Kita perlu berhati-hati, kerana masyarakat lebih mempercayai mereka yang masuk dan kemudian keluar dari sesebuah parti berbanding mendengar hujah ahli yang kekal setia berpuluh tahun di dalamnya. Maka sebab itulah ruangan pencadang seperti di dalam borang permohonan keahlian untuk menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjadi begitu penting.
Namun mengharapkan kesempurnaan pada sesebuah parti politik adalah keterlaluan. Ia seperti mengharapkan Perdana Menteri berhenti membuat perutusan khas dan membuat sidang media bagi menjawab soalan-soalan media. Nampak mustahil. Tetapi biarpun tampak sukar, mekanisma ini sekurang- kurangnya dapat menyaring dan memastikan ahli yang masuk adalah mereka yang benar-benar mahu bersama parti dan memperjuangkan apa yang menjadi ideologi parti.
Tanpa kita sedar, Langkah Sheraton ini membentuk kebersamaan kita sebagai satu pasukan. Kita berjaya ketepikan semua pandangan peribadi mahupun agenda parti sendiri. Tragedi selalunya menyatukan – itu yang selalu diperkatakan orang bijak pandai. Melaui peristiwa ini kita semakin kenal siapa kawan yang boleh berubah menjadi lawan. Kita telah belajar menjadi lebih waspada dengan sebarang petanda yang kecil, biarpun yang tidak begitu jelas ketara tetapi boleh menjadi penyumbang kepada keretakan yang akhirnya menghancurkan kita.
Langkah Sheraton seharusnya mengajar kita menjadi lebih jujur di antara satu sama lain. Ini bukan memberi maksud ada antara kita yang tidak berlaku jujur, namun jika sifat ini ada di kalangan kita, maka kita harus segera perbetulkan dan buangkannya jauh-jauh. Meluahkan kejujuran kadang-kadang menjadi sangat sukar, namun jika ianya dapat menyelamatkan kita dari gelombang ombak besar yang boleh melemaskan semua orang, ia wajar disuarakan.
Menyembunyikan kegusaran isi hati atau menyimpan hasrat yang tersendiri sebenarnya boleh menjadi api dalam sekam. Ia lebih berbahaya. Ia adalah satu retak kecil yang boleh memecahkan keseluruhan kepingan cermin, ia hanya menunggu masa untuk hancur berderai dan tidak boleh diselamatkan lagi. Langkah Sheraton telah mengajar kita supaya kembali mempercayai antara satu sama lain dalam erti kata yang sebenar. Bila kita percaya, maka kita akan berjuang dan berkorban tanpa ragu-ragu – walaupun untuk siapa sahaja. — Roketkini.com