Berita, Kenyataan Akhbar

PRU-15: Parti politik perlu raih sokongan rentas etnik, tiada lagi ‘outsourcing’

Oleh B. Suffian

Semua parti politik perlu meraih sokongan pengundi merentasi etnik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak, kata Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara memberitahu, tidak ada lagi kaedah ‘outsourcing’, yang mana sesebuah parti hanya menumpukan perhatian kepada kumpulan etnik masing-masing dan menegaskan, zaman tersebut sudah berlalu. 

Menurutnya, parti lain tidak boleh menyatakan mereka hanya mewakili masyarakat Melayu, begitu juga DAP tidak boleh menyatakan mereka hanya mewakili masyarakat bukan Melayu kerana kebanyakan kerusi pilihan raya kita terdiri daripada pengundi pelbagai etnik.

Jelasnya, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah memberi satu pengajaran bahawa pengundi Malaysia yang berbilang etnik tidak menyukai gabungan parti politik yang mengamalkan taktik pecah dan perintah berdasarkan landasan perkauman.

“Sebelum ini, DAP mungkin bergantung kepada rakan parti Melayu dan Islam dalam Pakatan Harapan (PH) untuk meraih sokongan pengundi demografi ini. Tetapi, perkara ini tidak lagi relevan untuk pilihan raya akan datang. 

“Jika DAP hanya bergantung kepada sokongan bukan Melayu, DAP hanya akan menang 20 hingga 25 kerusi parlimen sahaja dalam PRU-15 kerana tiada lagi jaminan kemenangan walaupun di kubu kuat parti.

“Lebih daripada itu, DAP sendiri perlu meyakinkan 30 hingga 40 peratus pengundi Melayu untuk mempertahankan kerusi DAP pada pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Seimbas lalu, Chin Tong berkata, berbeza dengan gambaran yang dilaporkan media Melayu, tidak semua pengundi Cina menjadi penyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) secara automatik pada PRU-14. 

Sebahagian besar mereka tambahnya, pengundi atas pagar dan hanya menyokong PH pada hari-hari terakhir menjelang PRU-14. 

“Di kebanyakan kerusi pilihan raya, pengundi bukan Melayu atas pagar akan mengundi parti pembangkang sekiranya mereka melihat orang ramai sudah bersedia untuk melakukan perubahan. 

“Pengundi Cina di pekan kecil ini hanya mahu mengundi parti yang mampu membentuk kerajaan,” katanya. 

Ujarnya, beliau tertarik apabila mendapat tahu beberapa generasi lama masyarakat Cina yang beralih menyokong PH pada saat akhir tempoh berkempen selepas melihat rakan-rakan dan pelanggan Melayu mereka menyokong pembangkang. 

Menurut beliau, contohnya, mereka yang mempunyai kedai runcit di bandar kecil di kawasan tengah Johor selalunya mempunyai ramai pelanggan Melayu. 

Beliau menjelaskan, apabila mereka mengetahui penyokong UMNO yang setia sudah bersedia untuk berubah, ‘pak cik- pak cik’ Cina di bandar kecil juga cenderung mengundi untuk membuat perubahan. 

“Jelas sekali bahawa modenisasi telah menjadi pencetus kepada pembangunan bandar kecil, berlaku penambahan penduduk, dan membentuk kawasan dengan masyarakat pelbagai etnik yang telah mengubah cara berfikir pengundi,” katanya. – Roketkini.com

Baca wawancara Chin Tong bersama Malay Mail DI SINI