Berita

Perlu usaha berterusan atasi masalah lompat parti – Poay Tiong

Perlu usaha berterusan untuk mengatasi masalah lompat parti bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap sistem politik negara, kata Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Ini selepas dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini melompat dan menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional. 

“Kejadian ini amat mengecewakan kerana setahun selepas Langkah Sheraton, keadaan politik negara kita masih dibelenggu fenomena ‘katak’ dan pencaturan politik.

“Perkara-perkara sebeginilah yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan muak terhadap politik di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Jelas Poay Tiong, terdapat beberapa cadangan untuk mengatasi masalah tersebut antaranya penggubalan undang-undang baharu yang melarang wakil rakyat bertukar parti secara sesuka hati.

Melalui sistem berkenaan, tambahnya, wakil rakyat yang lompat parti perlu letak jawatan dan pilihan raya kecil diadakan.

“Ya, ketika PH menjadi kerajaan kita gagal memperkenalkan undang-undang sedemikian. 

“Antara sebabnya ialah ia memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan, dan ada juga parti dan individu di kalangan PH yang menggalakkan lompat parti.

“Namun, saya masih yakin bahawa untuk parti DAP, kami bersedia dan akan terus mendukung agenda anti-lompat parti ini. 

“Persoalannya adalah sama ada parti-parti lain juga bersedia dan bersetuju untuk menyokong perubahan ini,” ujarnya. 

Mengulas lanjut, Poay Tiong yang juga Naib Pengerusi DAP Melaka berkata terdapat juga cadangan memperkenalkan sistem “recall elections.” 

Melalui sistem itu, katanya, pilihan raya kecil akan diadakan jika sebilangan besar pengundi di sesebuah kawasan menuntut untuk “recall elections” diadakan.

Katanya, ia telah diamalkan di beberapa negara antaranya di Taiwan, di mana rakyat di bandar Kaohsiung telah menuntut “recall election” terhadap Datuk Bandar mereka kerana gagal mentadbir dengan baik.

“Sistem sebegini boleh dipraktikkan di Malaysia terhadap wakil rakyat yang lompat parti.

“Ia memberi kuasa kepada pengundi di kawasan wakil rakyat tersebut memutuskan sama ada wakil mereka telah mengkhianati mandat yang diberikan,” ujarnya. — Roketkini.com