Berita

Beli sokongan politik, beranikah SPRM siasat Muhyiddin?

Oleh Zamzani Husin

Proses “membeli” wakil rakyat dengan umpan habuan wang ringgit dan jawatan semakin menjadi-jadi sejak Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dengan majoriti paling tipis dalam sejarah Malaysia. 

Bagi mengukuhkan kedudukannya yang semakin goyah, Muhyiddin dikatakan menawarkan jawatan dan wang ringgit kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk melompat parti dan menyokongnya. 

Terbaru, Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong yang melompat parti dari PKR untuk menyokong Muhyiddin mengaku bahawa Ahli Parlimen Paloh itu menawarkan jawatan rasmi kepadanya.

Bagi Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, peristiwa itu mengingatkan beliau tentang rakaman audio Muhyiddin tahun lepas.

Dalam rakaman yang tersebar secara meluas itu, Presiden Bersatu itu dikatakan menawarkan jawatan politik dan jawatan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai pertukaran untuk sokongan politik.

Guan Eng dalam kenyataan hari ini turut memetik kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri Musa Hitam bahawa wakil rakyat yang melompat parti telah digoda dengan politik wang dan telah melakukan penghinaan terhadap politik tanah air. 

“Beliau berkata bahawa kini tidak lagi tentang politik atau ideologi, tetapi tentang ideologi wang di mana habuannya tidak lagi sedikit seperti masa lalu,” katanya. 

Sekurang-kurangnya, SPRM perlu menyatakan secara terbuka bahawa melompat parti kerana politik wang atau melalui pertukaran habuan adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan satu amalan rasuah

Kini timbul persoalan, adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuktikan bahawa ia bebas, berkecuali, profesional dan patuh kepada kedaulatan undang-undang dengan menyiasat Perdana Menteri? 

“Sekurang-kurangnya, SPRM perlu menyatakan secara terbuka bahawa melompat parti kerana politik wang atau melalui pertukaran habuan adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan satu amalan rasuah,” ujar Guan Eng dalam kenyataan, hari ini.

Indeks persepsi rasuah merosot

Ironinya, menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, Perdana Menteri telah menjadikan pencegahan rasuah sebagai salah satu komitmen utamanya dalam kerajaan. 

“Namun hakikat sebenar tidak menyebelahi retorika Muhyiddin. 

“Dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2020, Malaysia telah merosot 6 anak tangga ke kedudukan 57 berbanding no. 62 pada 2017, 61 pada 2018 dan 51 pada 2019,” ujarnya. 

Mengulas lanjut, katanya, kemerosotan tersebut antaranya disebabkan kurangnya penekanan terhadap kepentingan melaksanakan tender terbuka dan mengamalkan ketelusan. 

Turut menyumbang kepada permasalahan tersebut adalah pelantikan orang politik menggantikan ahli profesional dalam GLC sebagai pertukaran untuk sokongan politik.

“Ini juga disebabkan penarikan pertuduhan jenayah terhadap pemimpin politik yang menyokong kerajaan PN, menggunakan jawatan kerajaan untuk membeli sokongan politik, serta penyiasatan dan pendakwaan terpilih ahli politik telah dikenalpasti sebagai sebab utama kemerosotan tersebut.

“Dengan SPRM yang dilihat sebagai memandang enteng kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International, tidak mengejutkan jika kedudukan Malaysia dalam indeks tersebut akan merudum lagi pada tahun ini,” katanya. — Roketkini.com