Berita

‘Kapal DAP tetap teguh menyusur lautan kebenaran’ – Mordi

Oleh B. Suffian

Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol menegaskan, beliau masih teguh sebagai wakil rakyat DAP serta Pakatan Harapan (PH) dan akan terus bersuara dan berkhidmat untuk rakyat yang diwakilinya terutama di Mas Gading.

Kenyataan itu sekali gus menepis khabar angin kononnya beliau bakal melompat untuk memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ketika mengharungi lautan politik Malaysia yang bergelora teruk, tidak pernah sedikit pun saya lihat saudara seperjuangan saya goyah. Walau sekuat mana sekali pun dipukul ombak kecaman, ditiup ribut tuduhan, kapal DAP tetap teguh menyusur lautan kebenaran.

“Pengalaman ini membuatkan saya bertambah yakin dengan kapal yang saya naiki selama ini. Walaupun tidak mewah, tetapi dikemudikan dengan jujur, adil, dan amanah.

“Bersama 41 orang ahli parlimen DAP yang lain, kami akan terus kuat berpegang pada prinsip perjuangan parti dan mempertahankan mandat yang telah diberikan oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mordi menambah, masalah kesihatan sedikit mengganggu prestasi namun bukan prinsip beliau, dan seterusnya menegaskan, beliau terlibat dalam politik bukan atas dasar minat tetapi tanggungjawab dan yang menghantar dirinya ke Parlimen adalah rakyat Mas Gading.

Jelasnya, beliau yakin masing-masing ada alasan sendiri untuk lompat atau kekal dalam parti yang diwakili ketika pilihan raya umum (PRU) lalu dan faktor utama yang dilihat menjadi faktor kepada kegiatan lompat parti terbabit adalah isu peruntukan khas bagi kawasan Parlimen.

Dari dulu hinggalah sekarang, tambahnya. hanya wakil rakyat blok kerajaan sahaja akan menerima peruntukan tersebut, tetapi tidak blok pembangkang justeru, itulah salah satu modal yang digunakan untuk memancing wakil-wakil rakyat dari blok pembangkang.

“Ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian. Wujudnya kerajaan pintu belakang hari ini adalah kesan daripada sikap segelintir pihak yang pentingkan diri dan tamakkan jawatan sehingga lupa akan nasib rakyat.

“Contohnya di Mas Gading, rakyat kawasan parlimen ini menjadi mangsa kejadian lompat parti. Lain pihak yang buat hal, lain kawasan yang kena tanggung.

“Dengan sekelip mata, Mas Gading menjadi kawasan di bawah ahli Parlimen pembangkang dan serta merta peruntukan bagi kawasan parlimen ini ditarik balik. Kenapa tidak ditarik balik elaun wakil rakyat yang melompat? soalnya. – Roketkini.com

Baca kenyataan penuh Mordi Bimol DI SINI