Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Proses pemilihan kepimpinan parti dijalankan telus, tak memihak kepada individu

Oleh B. Suffian

Semua proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.

Sehubungan itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, dakwaan berkenaan ‘pengundi hantu’ (phantoms voters) adalah tidak berasas sama sekali.

“Saya berasa amat kesal terhadap kekecohan yang berlaku dalam Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak yang berlangsung semalam.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana persidangan parti DAP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anthony berkata, senarai perwakilan untuk konvensyen biasa negeri adalah disahkan oleh Bahagian Organisasi Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.

Menurut beliau, setiap wakil yang layak untuk hadir ke Konvensyen Biasa Negeri berhak untuk mengundi selagi proses pengundian belum ditutup oleh pengurus pilihan raya (Returning Officer).

“Pengurus pilihan raya untuk konvensyen biasa negeri adalah dilantik oleh Ibu Pejabat Kebangsaan DAP dan secara lazimnya beliau adalah pemimpin dari negeri lain yang tidak ada kepentingan dalam proses pemilihan di negeri tersebut.

“Sebelum seseorang wakil mendapat kertas undi mereka, kad pengenalan mereka akan diperiksa dan disahkan butirannya mengikut senarai perwakilan,” katanya.

Beliau menambah, semua jawatankuasa negeri yang bertanggungjawab untuk menguruskan logistik untuk konvensyen biasa negeri juga perlu mematuhi segala tatacara dan prosedur yang ditetapkan oleh Bahagian Organisasi Kebangsaan.

Sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan segala proses pemilihan dalam mesyuarat agung tahunan cawangan, konvensyen biasa negeri dan kongres kebangsaan parti dijalankan dengan penuh integriti.

“Saya menyeru setiap anggota parti untuk menghormati proses pemilihan parti dan menerima sebarang keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka.

“Setiap ahli DAP juga perlu sentiasa menjunjung perlembagaan parti yang menjadi asas kepada perjalanan dan fungsi parti,” katanya lagi. – Roketkini.com