Berita, Isu Semasa

‘Tangan kanan susahkan rakyat, tangan kiri nak bantu rakyat?’

Oleh B. Suffian

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mempertikaikan tindakan MCA dan Umno menawarkan bantuan guaman kepada individu dikenakan kompaun RM10,000 ekoran pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Hannah berkata, MCA dan Umno berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melaksanakan darurat dan ordinan kompaun RM10,000.

“Apakah kegilaan ini? MCA dan Umno dalam Kerajaan Perikatan Nasional laksanakan darurat dan ordinan kompaun RM10,000 dan sekarang nak bagi bantuan guaman?

“Tangan kanan susahkan rakyat, tangan kiri nak bantu rakyat?” soalnya di Facebook hari ini.

Beliau yang juga mantan timbalan menteri turut mempersoalkan kewajaran pengumuman pelbagai bantuan kebajikan apabila denda dikenakan 10 kali ganda.

“Apa guna umum pelbagai bantuan kebajikan – MyBeras di KL dan bagi beras sini sana serta top up bantuan kebajikan JKM kepada RM1000 tapi denda 10 kali ganda?” soalnya.

Menurut beliau, Kerajaan PN tidak ada pengalaman mentadbir dengan baik sebaliknya ‘umum dulu, kompaun dulu kemudian baru nak perincikan kesalahan.’

“Mengelirukan pegawai penguatkuasa seperti polis dengan SOP mereka kemudian menambah pula beban pegawai kesihatan daerah untuk meneliti rayuan kompaun RM10,000,” katanya.

Hannah berharap rakyat membuka mata melihat ketidakcekapan dan kezaliman PN yang terdiri daripada parti PAS, Bersatu, MCA, UMNO, MIC.

Umno, MCA dan Gerakan dilaporkan tampil menawarkan bantuan khidmat nasihat guaman percuma bagi mereka yang dikenakan denda RM10,000 tersebut.

Dalam pada itu, Adun Pengkalan Kota, Daniel Gooi berpendapat, tindakan MCA dan Gerakan mewujudkan saluran guaman tersebut adalah hipokrit.

Beliau berkata, ini merupakan percubaan untuk melepaskan tanggungjawab mereka sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ingin saya menanyakan kepada MCA dan Gerakan, adakah MCA tidak mempunyai perwakilan di dalam Jemaah Menteri dan Kabinet?

“Adakah Gerakan yang baru sahaja menyertai Perikatan Nasional langsung tidak mempunyai pengaruh terhadap dasar Kerajaan Persekutuan?

“Mengapa mereka perlu mengambil tindakan sebegini sedangkan sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, mereka mampu mengatasi masalah ini secara langsung dalam pengubalan dasar?” soalnya. – Roketkini.com