Rencana, Uncategorized

Muhibah DAP ikhlas demi Malaysia

Oleh Roketkini

Ulang Tahun DAP Ke-55 pada 18 Mac lalu, dengan tema Demokratik. Adil. Peduli: MUHIBAH telah disambut serba meriah dalam suasana negara dilanda pandemik.

Pelbagai program menarik dan berinformatif dijalankan secara online sempena sambutan tersebut, yang telah memperoleh sambutan menggalakkan dari kalangan penyokong dan pengguna media sosial. Antara yang menarik adalah pertandingan ‘Kisah DAP Saya’, yang memberi peluang kepada mereka di luar sana untuk berkongsi kisah DAP masing-masing.

Mungkin DAP adalah parti pertama yang menyambut ulang tahun secara online seperti itu di negara ini? Selain publisiti di media sosial, media-media arus perdana turut membuat liputan terhadap sambutan ulang tahun ini. Pendek kata, meskipun dalam suasana pandemik dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan pergerakan rakyat agak terbatas, kemeriahan sambutan ulang tahun DAP ini tetap dirasai secara signifikan.

Memasuki usia 55 tahun, sokongan rakyat terhadap DAP terus kukuh. Meskipun sekian lama menjadi mangsa adu domba pihak lawan yang berterusan mempromosi persepsi negatif terhadapnya menerusi label-label seperti parti cauvinis, komunis, anti-Melayu, anti-Islam dan sebagainya, kapal DAP tetap teguh menyusur lautan kebenaran.

Walaupun sudah ‘berbuih mulut’ menjawab persepsi-persepsi atau label-label itu, namun kepimpinan DAP tidak pernah berputus asa untuk menyebarkan kebenaran kepada masyarakat. Dengan kehadiran Parlimen terbesar iaitu sebanyak 42 ahli Parlimen, DAP terus menggalas aspirasi rakyat ke arah Malaysia yang lebih baik. Wakil-wakil rakyatnya terus aktif memikul amanah dan menumpukan usaha untuk berkhidmat demi rakyat, demi Malaysia.

Usia 55 tahun DAP pastinya sebagai manifestasi kematangan parti DAP yang telah ‘berhujan dan berpanas’ dalam politik Malaysia sejak era 60-an lagi. Ia mencerminkan betapa DAP terus komited dalam perjuangannya demi masa depan rakyat Malaysia dan pembinaan negara.

Sokongan rakyat terus kukuh

Rakyat terus meletakkan kepercayaan mereka terhadap perjuangan DAP. Jika hendak menggunakan kaedah soal selidik untuk dijadikan ukuran, soal selidik yang dijalankan oleh organisasi media sebelum ini boleh dijadikan rujukan.

Sinar Harian melaporkan, sebahagian besar pembaca Sin Chew Daily yang mengambil bahagian dalam satu kaji selidik yang dijalankan bersama Sinar Harian menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Harapan (PH). Ia terbukti apabila ketiga-tiga parti gabungan PH iaitu DAP, PKR dan Amanah menjadi pilihan utama pembaca akhbar itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Sebagaimana yang dijangka, DAP menjadi pilihan utama para pembaca Sin Chew diikuti PKR dan Amanah.

Berdasarkan soal selidik tersebut, boleh dilihat bahawa momentum sokongan rakyat terhadap DAP dan PH sejak PRU-14 masih lagi teguh dalam kalangan rakyat dan penyokongnya sehingga hari ini. Dapatan ini juga menampakkan persepsi masyarakat terhadap DAP kekal positif sekali gus mencerminkan sandaran masyarakat terhadap perjuangan DAP sebagai sebuah parti politik.

Muhibah

Sejak ditubuhkan pada 1966, DAP sentiasa kekal sebagai sebuah parti berbilang kaum, berjuang demi kesejahteraan dan kebajikan semua rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban, atau Orang Asli. DAP berbangga mempunyai perwakilan rakyat daripada semua komuniti kecuali Orang Asli, setakat ini.

Malah, pada PRU 1969 yang kali pertama DAP sertai, ia telah meletakkan 10 calon Melayu iaitu sembilan untuk DUN dan satu untuk Parlimen. Dua daripada mereka berjaya menjadi Adun. Bagi PRU 2018, calon-calon Melayu DAP untuk kerusi DUN adalah sembilan.

Mereka adalah Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah), Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima), Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Edry Faizal (Dusun Tua), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan telah meninggalkan parti, Sheikh Omar Ali (Paloh), Young Syefura Othman atau Rara (Ketari), dan Abu Bakar Lebai Sudin (Pulau Manis).

Untuk Parlimen, Tengku Zulpuri bertanding di Raub.

DAP juga kini mempunyai wakil rakyat berketurunan India yang terbanyak dalam kalangan semua parti di Malaysia.

Parti orang muda

Meskipun dengan pengalaman 55 tahun dalam arena politik negara, DAP terus malar segar. Parti ini banyak memberi peluang kepada generasi muda malah kebanyakan dari para pengasas parti pada masa itu dalam umur 30-an.

Hari ini, antara 42 orang Ahli Parlimen DAP yang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, 12 orang tidak melebihi umur 40 tahun pada ketika itu, iaitu Steven Sim (yang memenangi kerusi Parlimen Bukit Mertajam adalah anak muda kelahiran tahun 1982); Yeo Bee Yin (Bakri, 1983); Wong Shu Qi (Kluang, 1983); Hannah Yeoh (Segambut, 1979); Kasthuri Patto (Batu Kawan, 1979); Chan Foong Hin (Kota Kinabalu, 1978); Noorita Sual (Tenom, 1980); Wong Kah Woh (Ipoh Timor, 1980); Teo Nie Ching (Kulai, 1981); Alice Lau (Lanang, 1981); Mordi Anak Bimol (Mas Gading, 1985); dan Kelvin Yii (Bandar Kuching, 1986).

Juga pada PRU 2018, DAP mencalonkan enam anak muda Melayu yang berusia bawah 40 tahun untuk bertanding bagi DUN, dan mereka berjaya menawan kesemua enam kerusi yang ditandingi. Untuk rekod, DAP mempunyai 44 orang Adun yang tidak melebihi umur 40 tahun (pada tahun 2018).

Ini menunjukkan DAP sentiasa memberi ruang dan menghormati suara yang baharu dan berbeza.

Kebajikan rakyat

Walaupun dalam tempoh hanya 22 bulan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membuktikannya sebagai sebuah kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat. Kerajaan PH komited membantu rakyat terutama yang berpendapatan rendah menerusi pelbagai inisiatif antaranya Bantuan Sara Hidup (BSH).

Selain itu pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta mengukuhkan institusi penguatkuasaan mentadbir negara. Kedudukan Malaysia melonjak kepada kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International dan Indeks Demokrasi.

Kini sebagai pembangkang, DAP tidak pernah berhenti bersuara demi kepentingan rakyat termasuk merangkumi isu bantuan bulanan kebajikan, isu 150,000 buah tablet dan komputer riba untuk para pelajar, isu pengeluaran KWSP sehingga RM10,000 dan isu pelanjutan automatik moratorium pembayaran balik pinjaman bank.

Junjung Perlembagaan

Seperti yang ditegaskan Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng sebelum ini, DAP kekal komited menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan berdedikasi terhadap usaha pembinaan negara:

  • Malaysia adalah sebuah negara yang bersatu-padu, di mana rakyatnya saling hormat-menghormati dan sama-sama berkongsi hidup, menikmati peluang yang saksama, bebas daripada ketakutan dan kemiskinan;
  • Malaysia adalah sebuah negara yang benar-benar mengamalkan demokrasi yang menghormati maruah dan hak asasi dengan memberi harapan sebenar kepada golongan muda bahawa masa hadapan mereka terjamin dan tidak akan dihancurkan; memberi penghargaan kepada mereka yang gigih berusaha serta memupuk budaya cemerlang; memastikan keamanan dan kedaulatan undang-undang sebagai hak untuk semua rakyat, dan bukannya sebagai keistimewaan untuk golongan elit; dan
  • Walaupun rakyat Malaysia mempunyai pelbagai identiti — etnik, agama, bahasa, budaya – impian kita adalah untuk melihat semua orang berkongsi satu identiti kebangsaan sebagai rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, persoalan sama ada DAP ikhlas atau tidak menyebarkan mesej muhibah tidak timbul. DAP sentiasa memainkan peranan sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan rakyat pelbagai kaum di Malaysia. Keikhlasan itu dibuktikan dengan tindakan. – Roketkini.com