Berita, Uncategorized

Hala tuju DAP adalah kepelbagaian kaum

Oleh B. Suffian

Hala tuju DAP mesti berlandaskan kepelbagaian kaum dan bukan hanya satu kaum, tegas Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, DAP diasaskan dan ditubuhkan sebagai satu parti pelbagai kaum di mana asasnya adalah kepelbagaian.

“Kepelbagaian budaya, berbilang agama, berbilang kaum… itu asas kerana keadaan di Malaysia masyarakat majmuk.

“Jadi, itu pada saya asas penting yang mesti DAP pertahankan,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Minda TV Bicara Tokoh ‘Malaysia: Di Mana dan Ke Mana Kita’ anjuran Majlis Profesor Negara.

Menyingkap sejarah penubuhan Malaysia pada 1963, Anthony berkata, pembentukan negara bersama Sabah dan Sarawak adalah asasnya kepelbagaian.

Malah, beliau berkata, asas pencapaian kemerdekaan daripada British pada 1957 adalah kerjasama antara kaum.

“Agenda yang kita hendak bawa dalam kerajaan dan pentadbiran bukan hanya untuk satu kaum. Itu paling penting,” katanya. – Roketkini.com