Berita

Kerajaan jangan mangsakan pembayar cukai

Ucapan Setiausaha Agung DAP Dan Ahli Parlimen Bagan Pada Perhimpunan Jawatankuasa Perhubungan Parlimen DAP Bagan, Tasek Glugor Dan Permatang Pauh Di Butterworth Pada 13.4.2021 Dikeluarkan Pada 14.4.21.

Pengakuan Perdana Menteri Mahiaddin Yassin bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah tidak mempunyai banyak wang yang tinggal, tidak boleh dijadikan alasan untuk meminda undang-undang cukai yang melanggar prinsip hukum keadilan asasi.

Mahiaddin mengatakan perbelanjaan RM622 bilion bagi pelbagai pakej rangsangan ekonomi Covid-19 berjumlah RM340 bilion dan peruntukan RM322 bilion untuk Belanjawan 2021, telah menyebabkan kerajaan kekurangan dana.

Malangnya, kesan positif terhadap ekonomi dari perbelanjaan RM622 bilion tidak seperti dijangkakan. Sektor pelancongan yang kerugian RM100 bilion tahun lalu tetap lumpuh dan pemberhentian kerja dan penutupan perniagaan masih berterusan.

Kerajaan PN harus berani meminjam lebih banyak untuk berbelanja lebih besar dari pasaran hutang domestik, yang mempunyai kecairan yang tinggi sebanyak RM1.3 trilion.

Sekiranya perlu, paras siling hutang kerajaan harus dinaikkan dari 60% KDNK sekarang kepada 65% atau bahkan 70%.

Kerajaan PN yang kian kehabisan dana tidak seharusnya terdesak untuk mencari wang tunai dengan secara rakus dan sembarangan dengan memangsakan perniagaan/ pembayar cukai yang sedang menderita akibat kemelesetan ekonomi.

Ini susulan pengenalan baru Seksyen 103B bagi Undang-Undang Cukai Pendapatan, yang menjadikan cukai harus dibayar walaupun “permulaan prosiding di bawah mana-mana undang-undang bertulis”.

Dengan kata lain, “bayar dahulu bincang kemudian”. Ini adalah penolakan hak keadilan asasi pembayar cukai dan bidang kuasa mahkamah.

Pada masa lalu pembayar cukai selalunya memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk perintah penangguhan melalui permohonan semakan kehakiman, di mana pembayar cukai dibenarkan untuk menahan pembayaran taksiran cukai sehingga penyelesaian kes.

Pengenalan seksyen baru 103B ini, yang diwartakan pada 31.12.2020, akan memaksa pembayar cukai membayar terlebih dahulu tanpa menghiraukan sama ada taksiran itu tidak adil atau tidak masuk akal.

Bersenjatakan dengan kuasa baru yang diberikan oleh PN, banyak perniagaan yang sedang menderita akibat kemelesetan ekonomi dikenakan tindakan sedemikian oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut pembayaran.

Sekiranya PN enggan memansuhkan peruntukan yang tidak adil dalam Seksyen 103, maka hanya pertukaran kerajaan yang dapat menghentikan penindasan melampau oleh Kerajaan PN. – Roketkini.com