Berita, Isu Semasa

Kabotaj: PM perlu buat keputusan segera

Oleh B. Suffian

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuat keputusan serta-merta antara meneruskan dasar kabotaj Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang gagal atau menyelamatkan masa depan digital Malaysia.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Muhyiddin tidak boleh berlengah-lengah dua minggu untuk ‘semakan semula yang tidak bermakna.’

“Adakah Kerajaan PN sekarang begitu tidak tegas dan tidak kompeten sehingga mereka perlu melibatkan enam kementerian dalam perkara yang mudah seperti ini?

“Di bawah Pakatan Harapan (PH), perkara ini diputuskan dengan berkesan oleh Kementerian Pengangkutan tanpa sebarang masalah berdasarkan amalan terbaik antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kabinet sebelum ini dilaporkan mengarahkan kementerian berkaitan mengemukakan laporan mengenai kesan pengecualian dasar kabotaj terhadap pelaburan digital dan industri perkapalan tempatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata ia membabitkan kementeriannya, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, pengecualian kabotaj yang membolehkan kapal asing melakukan pembaikan kabel dasar laut ini telah diberikan pada Mac 2019 oleh Menteri Pengangkutan PH. Anthony Loke Siew Fook.

Menurutnya, Ka Siong menarik balik pengecualian kabotaj pada 13 November 2020.

Guan Eng menjelaskan, syarikat teknologi seperti Google, Facebook, Amazon dan Microsoft telah menulis surat kepada Perdana Menteri sebanyak dua kali, membuat permintaan mendesak untuk mengembalikan pengecualian tersebut.

“Keempat-empat syarikat teknologi itu menyatakan bahawa pembatalan pengecualian kabotaj telah mengurangkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan untuk teknologi, menyekat rakyat dan perniagaan Malaysia yang bergantung pada Internet serta melanggar Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).” katanya.

Jelas, tambahnya, pembatalan oleh Ka Siong itu akan menghalang pencapaian objektif MyDigital, seperti menarik lebih banyak kabel dasar laut dan pelaburan pusat data ke negara ini, meningkatkan daya saing ekonomi melalui digitalisasi, dan mengembangkan bakat digital yang kompetitif di peringkat antarabangsa. – Roketkini.com

. – Roketkini.com