Berita

Segerakan bantuan komputer riba untuk PdPR

Oleh B. Suffian

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) menggesa Kementerian Pendidikan menyegerakan bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021 kepada semua golongan secepat mungkin.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu juga menggesa pihak kerajaan memberi insentif khas kepada para guru untuk pembelian data dan alat bantuan mengajar demi memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Jawatankuasa berpandangan bahawa berapa lama tempoh PdPR dilaksanakan sekali pun, yang penting ialah bantuan komputer riba harus disegerakan kepada murid yang memerlukan,” katanya hari ini. 

Kementerian Pendidikan semalam memutuskan untuk menutup operasi persekolahan sekolah rendah serta sekolah menengah di seluruh negara selepas cuti Hari Raya Aidilfitri bermula 16 Mei depan.

Dalam tempoh penutupan sekolah itu, para pelajar akan mengikuti PdPR selama 10 hari bermula dari 16 Mei hingga 27 Mei membabitkan sekolah dalam Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 17 Mei hingga 28 Mei (Kumpulan B).

Pelajar seterusnya akan terus bercuti penggal dari 28 Mei hingga 12 Jun (Kumpulan A) dan 29 Mei hingga 13 Jun (Kumpulan B).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan KPM menutup sekolah selepas raya adalah mengambil kira trend jangkitan Covid-19 dalam masyarakat ketika ini.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pendidikan PH menyifatkan arahan melaksanakan PdPR sebagai satu langkah wajar untuk dilaksanakan memandangkan situasi pandemik Covid-19 terus meningkat. 

Namun begitu katanya, ia harus diiringi dengan bantuan-bantuan kemudahan PdPR buat murid mahupun guru yang tidak mempunyai kelengkapan.

“Langkah ini bagi memastikan proses PdPR yang akan dilaksanakan memberi keberkesanan yang maksimum kepada semua murid dan guru,” katanya. 

Menurutnya, bagi guru, murid dan ibu bapa yang memerlukan bahan pembelajaran, dijemput untuk menggunakan platform Sophia.my sebagai salah satu alternatif sepanjang PdPR nanti. – Roketkini.com